Luqman Hakim jadi mangsa mainan media sosial


KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dianggap menjadi mangsa mainan media sosial selepas spekulasi mengaitkan dia dengan kelab Eropah, Newcastle United disalah erti pihak tertentu.


Ia berikutan laporan sebuah media tempatan mengatakan Newcastle tidak pernah mengadakan sebarang rundingan atau perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 18 tahun itu.

Laporan itu sekali gus menyebabkan peminat di negara ini berdepan kekecewaan selepas terdapat dakwaan sebelum ini kelab England berkenaan menunjukkan minat terhadap pemain kelahiran Kota Bharu itu.


Justeru, pemerhati bola sepak Mohd Sadek Mustafa berkata Luqman tidak boleh dipersalahkan langsung dalam perkara itu.


"Tunjuk minat tak semestinya nak melamar. Perkara itu adalah mainan media sosial, selain salah faham peminat yang terlalu taksub dengan berita yang disebar.


"Adalah salah bagi peminat meletakkan Luqman di situ ketika kita belum mendapat kenyataan hitam putih dari kelab terbabit. Jadi, peminat tidak boleh letak harapan tinggi atau luar biasa ke atas Luqman.


"Silap juga jika peminat menghukum Luqman dan pemain itu sendiri pun tidak buat apa-apa kenyataan," katanya kepada BH Sukan, semalam.


Selain itu, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berpendapat kelab Belgium, Kortrijk adalah pilihan terbaik buat Luqman membina kerjaya di Eropah.


Malah, beliau berkata fakultinya juga sedia memberi bantuan kepada Luqman dalam proses menyesuaikan diri di Belgium.


"Ini proses pembelajaran bagi Luqman dan usah tergesa-gesa. Ia kerana, jika dia tergesa-gesa akan menyukarkan proses penyesuaian diri dia di Eropah.


"Kami mempunyai hubungan dengan salah sebuah universiti di Belgium dan pensyarah kami, Rahmat Adnan ada menyambung belajar di sana. Malah dia juga mempunyai hubungan dengan komuniti Malaysia di Belgium.


"Jadi kami boleh bagi bantuan termasuk dalam bentuk khidmat nasihat untuk Luqman menyesuaikan diri dengan budaya dan pemakanan atau mendapatkan keluarga angkat di sana," katanya.




Sumber: Berita Harian

2 views0 comments