Malaysia lokasi pilihan Music Tribe pacu Pelan Transformasi Digital


KUALA LUMPUR, 8 Julai -- Music Tribe, peneraju multinasional bagi produk audio dan peralatan muzik profesional dengan cawangan di peringkat global, telah memilih Malaysia sebagai ibu pejabat baharu bagi memacu strategi Pelan Transformasi Digital Global syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini, syarikat antarabangsa yang diasaskan oleh Uli Behringer pada 1989, turut beroperasi di United Kingdom, Denmark, Sweden, Kanada, Jerman, Jepun, China dan Filipina.

Mengulas pengumuman itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkannya sebagai satu kejayaan untuk Malaysia selain membuktikan usaha negara menarik pelaburan berkualiti tinggi dan strategik daripada syarikat-syarikat antarabangsa.

Menurutnya, ini juga sejajar dengan pelancaran inisiatif Projek Lighthouse di bawah inisiatif MIDA yang menjadi usaha terbaharu negara menggalakkan penyertaan lebih banyak penggiat industri untuk turut sama memberi bimbingan dalam aspek pelaksanaan teknologi seperti kecerdasan buatan, pembuatan tambahan serta teknologi Industri 4.0 yang lain. "Malaysia memiliki ekosistem industri yang pelbagai, kemahiran serta dasar sokongan perniagaan dan menjadi kriteria tepat sebagai lokasi pilihan pelaburan untuk syarikat multinasional," katanya dalam kenyataan itu,

Music Tribe yang mempunyai lebih 20,000 peruncit dan pengedar di 134 negara, mewujudkan ibu pejabat berkenaan di bawah skim Hab Prinsipal pada 2019 bagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global.


Operasi itu akan menempatkan pasukan pimpinan digital baharu yang bertanggungjawab melaksanakan platform digital terkini bagi meningkatkan pengalaman pelanggan Music Tribe menerusi analisis data, Realiti Tertambah (AR) dan Realiti Maya (VR).

Mohamed Azmin juga berharap kejayaan pelaksanaan projek itu akan turut dicontohi oleh pihak berkepentingan industri serta bertindak menerapkan elemen pendigitalan dan automasi dalam operasi masing-masing.

"Ini pada akhirnya akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara perusahaan global yang memiliki pelaksanaan teknologi dan inovasi," katanya.


Beliau berkata, Music Tribe akan turut mengembangkan operasinya dengan mewujudkan fasiliti di Kawasan Perindustrian Kulim Hi Tech di Kedah yang dipacu platform berasaskan Industri 4.0 dan tenaga robotik sepenuhnya.

Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan Microsoft serta Siemens bagi menghasilkan rekaan 'Digital Twin' atau paparan maya keseluruhan reka bentuk dan aliran proses pembuatan untuk dilaksanakan kilang baharu yang dijangka beroperasi menjelang akhir 2021.

 Menurutnya, usaha itu akan mendigitalkan keseluruhan rangkaian rantaian bekalan Music Tribe bermula daripada peringkat reka bentuk, pembuatan, pemasaran e-dagang sehingga perkhidmatan selepas jualan.

Ini sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan penting dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rantaian bekalan, automasi, e-dagang, pemasaran dan kewangan.

"Projek-projek yang diperoleh syarikat itu akan turut memberi peluang besar kepada barisan pekerja yang juga rakyat tempatan untuk berada di barisan hadapan strategi digital globalnya selain meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka seiring dengan landskap teknologi yang pesat berkembang," katanya.

Sementara itu, Behringer yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Music Tribe, berkata kelebihan daya saing Malaysia merupakan faktor tarikan utama bagi syarikat itu menempatkan Hab Prinsipal serta kilang pembuatan serba canggih di negara ini.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, kita melalui proses penilaian terperinci bagi mengenal pasti lokasi terbaik untuk menempatkan ibu pejabat. Fokus utamanya adalah aspek jarak untuk pelanggan, tenaga kerja, rantaian bekalan serta khususnya sokongan kerajaan. "Sejak berada di sini, kita telah mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dan inilah lokasi terbaik," katanya.

Menurutnya, proses bagi pengambilalihan tanah seluas 20.23 hektar juga dapat dilakukan dalam tempoh kurang empat minggu.

"Sokongan sedemikian adalah sesuatu yang amat sukar ditemui apalagi bagi kami yang sudah menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lepas," katanya. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments