Marquez kejar gelaran ketujuh


PARIS: Kejuaraan dunia MotoGP akhirnya akan bermula di Jerez Ahad ini, secara tertutup dan lebih daripada empat bulan lewat dengan Marc Marquez menyasarkan gelaran ketujuh kelas perdana bagi menyamai catatan Valentino Rossi yang "99 peratus" pasti ini bukanlah musim terakhirnya.


Marquez, penunggang berusia 27 tahun dari Sepanyol yang menang gelaran dunia MotoGP pada 2013, 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019, berazam untuk menghancurkan pesaingnya bersama jentera Honda dengan adiknya, Alex, yang menang gelaran Moto2 tahun lalu, akan menjadi rakan sepasukan untuk semusim.


Jerez di Sepanyol akan menganjurkan dua perlumbaaan awal selang seminggu sebelum kejuaraan akan bergerak ke Republik Czech untuk satu perlumbaan dan kemudian ke Austria untuk dua lagi saingan yang mungkin terus berlangsung tanpa penonton.


Lapan bulan sejak Grand Prix terakhir, lima bulan sejak latihan terakhir dan berada di tempat duduk MotoGP tampak bukanlah mudah.


Selepas perintah berkurung lama, Marc dan Alex Marquez hanya melakukan latihan motocross sejak beberapa minggu lalu.


Bagi Rossi, pada usia 41 tahun, masa depannya masih belum pasti.


Penunggang Itali itu mendominasi MotoGP pada dekad pertama abad ini, meraih gelaran dunia pada 2001, 2002, 2003, 2004, 2005, 2008 dan 2009, namun tidak menang perlumbaan sejak 2017.


The Doctor sedar ini ialah musim terahir bersama pasukan 'factory' Yamaha yang sudah mengumumkan dia akan digantikan musim depan oleh penunggang muda Perancis, Fabio Quartararo.


Rossi perlu memilih dengan menukar jentera lebih berkuasa kepada pasukan satelit Yamaha atau menamatkan karier panjangnya.


"Saya mahu terus berlumba dan hampir pasti saya akan bersama Yamaha-Petronas pada 2021," katanya kepada Sky Italia. - AFP




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments