Masih catat rekod tinggi walau mula program vaksinasi



Washington: Amerika Syarikat (AS) mencatat rekod Covid-19 menakutkan pada Rabu dengan 3,748 kematian dan lebih 250,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menurut data John Hopkins University.


Ia kali ketiga AS melepasi 3,000 kematian. Rekod sama dalam tempoh 24 jam sebelum ini dicatatkan April lalu ketika negara itu berada pada kemuncak gelombang pertama.


Sejak dua minggu lalu, jumlah kes baharu Covid-19 direkod sebanyak 200,000 kes selama 11 hari.


Peningkatan luar biasa dialami sejak sebulan lalu dengan 113,000 orang masih dirawat di hospital, menurut data Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaannya.


Wakil rasmi kesihatan AS bimbang sambutan Hari Kesyukuran pada penghujung November lalu mencetus gelombang pandemik berkenaan, susulan jutaan rakyatnya menjelajah untuk mengunjungi keluarga dan rakan.


Kini, pakar mula bimbang situasi akan bertambah buruk menjelang sambutan perayaan hujung tahun termasuk Krismas.


Rekod terbaharu ini tercatat ketika negara itu dalam minggu pertama penganjuran program vaksinasi besar-besaran untuk mengurangkan penularan wabak.


Isnin lalu, suntikan vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama dilakukan, walaupun pihak berkuasa memberi amaran masih terdapat beberapa bulan lagi sebelum sebahagian besar penduduk dapat diimunisasi.


Berdepan kebimbangan kekurangan vaksin dan keadaan yang mendesak, Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (FDA) memaklumkan, enam atau tujuh dos boleh dikeluarkan daripada sebotol vaksin itu yang sepatutnya hanya mengandungi lima dos sahaja, bagi mengelak pembaziran vaksin.


"Dalam keadaan darurat kesihatan, FDA berpendapat wajar menggunakan sepenuhnya setiap dos yang diperoleh," katanya dalam ciapan Twitter dan menambah bahawa Pfizer mengikuti saranannya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments