Media konvensional Sabah masih jadi pilihan parti debat isu politik



KOTA KINABALU, 20 Jun -- Ahkbar tempatan di Sabah yang secara amnya dilihat berkecuali dalam pelaporannya masih menjadi pilihan parti dan para pemimpin parti politik di negeri ini dalam menyuarakan pandangan, selain melalui media sosial.     

Hal ini kerana parti-parti politik blok kerajaan atau pembangkang diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing dalam media konvensional berkenaan untuk tatapan pembaca terutamanya isu hangat melibatkan situasi politik negeri pada ketika ini.

Ketua Editor Daily Express, James Sarda berkata media cetak masih menjadi rujukan kepada pembaca di negeri ini dalam mendapatkan kesahihan mengenai sesuatu isu meskipun terpaksa bersaing dengan media dalam talian selain media sosial.

Akhbar tempatan memainkan peranan penting dalam menjelaskan situasi yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat khususnya yang melibatkan isu politik yang menjadi tarikan pembaca di Sabah.

Setiap hari tajuk utama muka hadapan akhbar Daily Express atau Harian Ekspres (edisi bahasa Melayu) bukan hanya tertumpu kepada berita daripada blok kerajaan tetapi juga daripada pembangkang, katanya.


"Akhbar Daily Express akan mengeluarkan semua berita daripada kerajaan mahupun pembangkang kerana itu adalah tanggungjawab akhbar ini untuk mengeluarkan apa sahaja isu penting daripada kedua-dua pihak, kami tidak berat sebelah.

"Kedua-dua pihak juga akan dapat lihat jika timbulnya sesuatu isu yang mendapat perhatian ramai dan saling berbalas kenyataan, isu itu akan menjadi tajuk utama muka depan akhbar Daily Express," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut James, dua tahun lepas, Daily Express memenangi pingat Perdana Menteri dan ia adalah satu pengiktirafan kepada mutu laporan akhbar berkenaan yang bersifat neutral.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui dalam nada yang sama berkata secara umumnya akhbar tempatan di Sabah bersifat neutral dalam melaporkan berita politik, sesuai dengan prinsip kebebasan yang dipraktikkan.

Kedua-dua belah pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang, mendapat ruang dalam akhbar selagi beritanya tidak menyentuh sensitiviti kaum, agama atau isu-isu bersifat keperibadian.

"Umumnya, akhbar tempatan di Sabah melaporkan secara adil dan seimbang cerita berkaitan politik, sekali gus menyuburkan industri persuratkhabaran," katanya, sambil mengakui saingan akhbar kini adalah media dalam talian seperti portal dan blog.

Menurutnya, akhbar terus menjadi ‘wadah rujukan' mengenai kesahihan sesuatu cerita politik lantaran sifatnya sebagai media konvensional yang dipercayai sejak sekian lama.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abd Karim berkata kebebasan akhbar yang sebenar ialah apabila media itu melaporkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Katanya, akhbar yang bebas tidak akan meletakkan pandangan dan agenda akhbar berkenaan dalam berita tetapi menggunakan sumber berita dan sesuatu isu itu dari sudut pandangan sumber.

"Kebebasan akhbar bermakna media mesti berani menegur kuasa yang ada, sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial," katanya.

Justeru pada pandangan Haryati, media tempatan di Sabah masih belum cenderung mempraktikkan kebebasan media dalam erti kata yang sebenar. -- BERNAMA



Sumber: Bernama

0 views0 comments