Media sosial bantu usahawan dodol bertahan, raih pendapatan lumayan


PASIR SALAK, 21 Julai -- Kesungguhan seorang usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memanfaatkan pelbagai platform media sosial tidak hanya membuahkan hasil, tetapi turut berjaya menyelamatkan perniagaannya daripada gulung tikar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Lebih membanggakan, Normi Ramli, 49, yang mengusahakan perniagaan 'Dodol Opah Yang' sejak 2013 di Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini, juga mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000 dalam tempoh sebulan setengah iaitu ketika Ramadan sehingga AidilFitri lepas.

Dodol itu merupakan resepi istimewa warisan turun temurun sejak 1959 oleh ibunya, Saerah Abdul Majid, 78, yang juga dikenali sebagai Opah Yang.

Ketika berkongsi kisah kejayaannya kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata lazimnya permintaan dodol keluaran syarikat miliknya, Era Empai Maju Enterprise hanya kira-kira 250 kilogram (kg) sebulan dan mencecah 750kg pada musim-musim perayaan.

"Namun, ketika tempoh PKP, dodol yang dijual dalam tiga perisa iaitu asli, pulut hitam dan durian hanyalah sekitar 100kg sehinggakan saya rungsing dan terfikir untuk menutup perniagaan," katanya.


Bagaimanapun, ibu enam anak itu terbukti bernasib baik kerana mendapat bimbingan dan nasihat daripada Institut Agro Usahawan (iGROW) di sini yang berkongsi teknik-teknik pemasaran baharu seperti perkongsian video pengiklanan menerusi aplikasi WhatsApp selain di laman sosial termasuk Facebook serta YouTube.

Tanpa perlu mengeluarkan modal bagi tujuan itu, Normi yang turut dibantu suami, anak-anaknya serta dua pekerja juga bertindak kreatif dengan menyelitkan video pendek berkonsepkan penceritaan bagi menarik perhatian ramai terhadap produknya yang dipaparkan di Youtube dan seterusnya dikongsi serta disebarkan dalam kumpulan Whatsapp. 

"Saya memulakan kaedah baharu itu pada Ramadan lepas dan permintaan terus meningkat. Hanya pada Julai ini, kami hentikan operasi selama tiga hari kerana perlu berehat," katanya.

Bagi Normi, perniagaan tidak lagi boleh sekadar menunggu pelanggan datang membeli, sebaliknya penjual perlu kreatif dari segi pemasaran termasuk memanfaatkan media sosial sebagai cabang memajukan perniagaan. 

Beliau juga mempunyai beberapa ejen termasuk dari Kuala Lumpur yang sanggup datang mengambil tempahan setiap hujung minggu selain dodolnya turut dijual menerusi platform e-dagang seperti Shoppe dan Lazada.

Malah, bagi memastikan produk keluaran syarikatnya terus menjadi pilihan ramai, Normi telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Kejayaannya turut dipacu sokongan serta bantuan termasuk kewangan dan peralatan daripada pelbagai jabatan serta agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan; Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Pihak MARDI misalnya mengajar saya dari segi penggunaan enzim supaya dodol yang dihasilkan lembut selain teknik pempasturan untuk menyahkan bakteria selepas dodol siap dimasak selama kira-kira enam jam," katanya.

Bagi memastikan perniagaannya terus bertahan, Normi juga melakukan inovasi dengan memperkenalkan dodol sumi (jeli) dalam pek kecil untuk mudah dibawa dan dimakan. "Dodol ini kita bungkus seperti (jeli) sumi dan mudah untuk dimakan sewaktu mesyuarat, dalam kereta selain mengelak tangan kotor. Selain itu, ia juga boleh dijadikan pengganti bunga telur atau hantaran perkahwinan," katanya. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.