Memang bagus harga turun tapi pastikan berkualiti, mudah dibeli - CAP


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat selain menurunkan harga siling pelitup muka sebanyak 30 peratus mulai 15 Ogos ini, kerajaan perlu mengambil kira beberapa faktor lain bagi memastikan langkah itu tidak memberi kesan negatif kepada pengguna.


Antara faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah pemantauan terhadap kualiti produk pelitup muka berkenaan, stok bekalan yang mencukupi dan akses bagi pembelian adalah mudah.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat, hari ini berkata harga siling pelitup muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos ini.


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya pula mengumumkan pemakaian pelitup muka akan diwajibkan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula 1 Ogos ini. Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Mengulas isu itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata langkah penurunan harga itu disambut baik, tetapi kerajaan perlu memastikan stok yang mencukupi di pasaran.


"Selain itu, perlu dipastikan pelitup muka boleh didapati di kedai, bukan hanya di farmasi sahaja. Ini bagi memastikan ia tidak dikawal oleh satu pihak sahaja, pelitup muka sepatutnya perlu ada di kedai runcit," katanya.

Selain harga, beliau turut mengingatkan mengenai pemantauan kualiti kerana ada produk dijual yang tidak menepati standard pasaran.


"Janganlah pula pelitup muka dua lapisan dijual pada harga RM1.20. Kami dapati ada pelitup muka yang dijual, kualiti dan standardnya tidak bertepatan dengan harga," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pelitup muka percuma kepada murid sekolah terutama bagi kelompok keluarga B40.

"KPM wajar memperuntukkan bekalan pelitup muka kepada semua murid setiap hari. Bayangkan, bagi satu keluarga yang ada lima orang anak bersekolah, mereka perlukan pelitup muka dalam bilangan yang banyak setiap hari. Ini pastinya membebankan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu memastikan tiada pihak memanipulasi harga dengan menjual pada harga lebih tinggi kerana permintaan meningkat.


"Pengguna juga perlu memainkan peranan, ...jika dapati apa pihak menjual lebih tinggi daripada harga siling, laporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Selain manipulasi harga, beliau turut meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah proaktif memeriksa kualiti pelitup muka yang dijual di pasaran.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.