Michael B Jordan mahu hapuskan diskriminasi kulit hitam



BINTANG filem Black Panther, Michael B Jordan mahu industri hiburan Amerika Syarikat (AS) bangkit untuk menolak isu diskriminasi dan prejudis terhadap golongan kulit hitam.

Michael berkata demikian ketika berucap di pentas terbuka dalam satu acara protes di Los Angeles, hari ini.


Dalam video yang dimuat naik di Instagram People itu, Michael berkata, mereka semua sedang berdiri di tengah-tengah Hollywood, bandar raya dengan industri hiburan terkuat di dunia dan dia masih bergiat aktif di situ.


"Saya gunakan kemampuan yang saya ada untuk perjuangkan kepelbagaian kaum dalam pelbagai aspek. Inilah masanya untuk studio, semua agensi dan premis yang ada di depan kita lakukan perkara sama," katanya.


Dalam video berdurasi dua minit lima saat itu, Michael juga menyeru supaya masyarakat mengaplikasikan perkara sama dalam isu perkauman, seperti mana ramai yang memperjuangkan hak kesamaan jantina.


"Anda aplikasikan kesamaan jantina pada 2020. Jadi, kenapa menjadi kekangan untuk mengambil pekerja berkulit hitam?" katanya.


Dalam ucapan menentang kekerasan pihak polis dan memperjuangkan keadilan kaum itu juga, Michael berkongsi beberapa watak yang pernah dilakonkannya dan benar-benar memberi kesan kepada kehidupan.


"Salah satu watak yang pernah saya bawa adalah sebagai Oscar Grant yang dibunuh polis di stesen kereta api di Oakland. Saya berpeluang menjiwai dirinya dan merasakan sendiri kesakitan yang dialami keluarga terutamanya anak dan ibunya


"Saya juga pernah mainkan peranan sebagai pegawai bomba dalam Fahrenheit 451 yang ingin tahu beberapa maklumat dan menyertai revolusi. Dengan menerbitkan filem itu, saya nampak dengan jelas sejauh mana kerajaan dan pihak berkuasa akan cuba untuk sembunyikan maklumat-maklumat itu.


"Saya juga berpeluang dan berbesar hati memegang watak sebagai Bryan Stevenson yang mendedikasikan hidupnya menentang sistem perkauman yang ada hari ini. Secara tak langsung, saya belajar taktik, mentaliti dan pendekatan yang dilakukannya dengan sangat tenang, strategik dan memahami," katanya.


Menurutnya, dia sentiasa menyokong mereka yang berada di lokasi di mana dia berdiri memberikan ucapan.


"Kita harus tepat dan dekat dengan isu yang diperjuangkan. Kerana itulah saya  sokong semua orang di sini kerana kita perlu bersama dan bersama-sama berganding bahu," katanya.


Michael menyertai protes itu bagi memperjuangkan isu perkauman yang baru-baru ini menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd akibat kekerasan polis.





Sumber: Harian Metro

1 view0 comments