Minta sumbangan tapi beli dadah



Kuala Lumpur: "Terdapat kes suami dan isteri bersekongkol menipu dengan cara meminta sumbangan kononnya hidup susah, tetapi mereka sebenarnya membeli dadah apabila mendapat wang yang diminta."


Begitu kata aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berikutan menerima banyak aduan mengenai sikap segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan daripada pengikut Facebooknya.


Kuan berkata, dia berjaya membongkar situasi itu apabila mengesan suami isteri yang juga penagih dadah mendapat sumbangan daripada orang ramai mahupun daripada dirinya sendiri.


Menurutnya, apabila pihaknya membuat pemeriksaan mendapati individu terbabit memberitahu perkara tidak betul sekali gus mengecewakannya.


"Saya tidak mahu barang sumbangan seperti susu dan lampin pakai buang yang diberikan kepada mereka dijual semula untuk dijadikan modal membeli dadah"


"Orang ramai sudah membantu mereka termasuk imam masjid dan jemaah, selain saya sendiri pun beri sumbangan.


"Mereka sanggup hantar mesej dengan menggunakan gambar dan profil palsu tentang bayi dan kesusahan mereka demi untuk menagih simpati," katanya.


Melalui hantaran di Facebooknya itu, dia memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada mana-mana individu yang mengaku susah dan meminta sumbangan melalui peti mesej suara.


Menurutnya, kes penipuan memohon sumbangan kepada pengikutnya memang berlaku dan dikesan semakin banyak sejak kebelakangan ini dengan alasan terkesan dengan pandemik Covid-19.


"Saya menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa peka dan teliti apabila menerima permohonan daripada mana-mana individu terutama membabitkan sumbangan secara dalam talian seperti Facebook ini.


"Justeru, saya mengesyorkan orang ramai supaya memeriksa dahulu latar belakang mana-mana peminta sumbangan ini, dan lebih baik sumbangan diberikan dalam bentuk barangan dan bukannya wang," katanya.


Katanya, dia berharap golongan terbabit dapat berubah dan mencari wang dengan bekerja tanpa mengharapkan simpati hasil sumbangan orang ramai semata-mata.



-- Sumber: Harian Metro

0 views0 comments