Misi besar Silk Sonic



DUA nama ikonik dunia, Bruno Mars dan Anderson .Paak mengikat kerjasama dengan tampil sebagai duo dinamakan Silk Sonic bagi memeriahkan lagi industri muzik. Menerusi projek mega itu, kedua bintang R&B terbabit mengimpikan untuk menakluk dunia bersama-sama.


Semestinya penubuhan duo itu memberikan kegembiraan kepada peminat seluruh dunia, apalagi jutaan menanti karya baru Mars. Manakala, nama .Paak pula memberi angin baharu kepada pengikut muzik R&B.


Apabila digabungkan, tentu sekali magis yang dibawakan mereka melangkaui karya pernah dihasilkan sebelum ini. Ia terbukti dengan pelancaran single sulung Silk Sonic berjudul Leave The Door Open, baru-baru ini.


Lagu berkenaan nyata memenuhi harapan ramai dan pendengar sangat berpuas-hati dengan hasilnya.


Bahkan, lagu itu pantas melekat di sanubari meskipun hanya mendengarnya sekali saja.


Berbaloilah penantian peminat kedua penyanyi berkenaan selepas projek terbabit diuar-uarkan dengan megah. Sekali gus, ia memberi petanda Silk Sonic kini dalam rangka melakar legasi sebagai duo terhebat sepanjang zaman.


Menerusi sebuah temubual, Mars mendedahkan projek itu sememangnya sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu.


Dia akui keputusan untuk bekerjasama dengan .Paak ternyata satu transisi luar biasa dalam kerjayanya.


"Saya dan Anderson (.Paak) bertemu sewaktu menjayakan sebuah siri jelajah bersama pada 2017. Saya menonton setiap persembahannya, dan kemudian daripada situ kami mula bersahabat baik.


"Kami banyak bertukar pendapat dan berbincang mengenai muzik. Kami berkongsi banyak persamaan daripada segi cita rasa, serta pelbagai perkara. Seterusnya, hubungan itu berlanjutan hingga ke studio rakaman," katanya.


Meskipun Mars sendiri sememangnya sudah cukup besar nama dengan karier yang prolifik, namun keserasian dengan .Paak menjadi faktor utama duo itu direalisasikan. Baginya, dia tidak perlu meragui keputusan itu walau sekelumit pun.


"Dia terus mencapai dan bermain dram sewaktu di studio, manakala saya pula berbekalkan gitar. Dengan begitu saja, kerjasama ini terus terjadi untuk menubuhkan Silk Sonic tanpa ragu-ragu," katanya.


Lebih istimewa, Mars tidak menafikan keseluruhan proses untuk menjayakan projek itu adalah antara hal paling menyeronokkan pernah terjadi dalam hidupnya. Dia jelas bersyukur apabila kini dapat melakar nama sebagai duo Silk Sonic tanpa dibayangi namanya sendiri.


"Apa yang saya boleh cakap, proses menghasilkan lagu Leave The Door Open bersama Anderson itu adalah proses paling seronok dalam kerjaya saya. Saya benar-benar yakin kami memang ditakdirkan bersama," katanya.


Ramai pastinya masih keliru dengan penubuhan duo terbabit memandangkan Mars sendiri kali terakhir hasilkan album pada 2016. Justeru, teka-teki sama ada ia cuma projek khas atau jangka masa panjang mengelirukan ramai.


Namun begitu, Mars menjelaskan Silk Sonic ditubuhkan untuk jangka masa panjang dan sebenarnya bertujuan menakluk dunia sepanjang zaman. Selain lagu terbaharu itu, mereka sudah menyusun pelbagai pelan untuk meluaskan lagi nama mereka.


"Semestinya masih terlalu banyak projek besar yang kami usahakan dalam misi memastikan nama Silk Sonic menakluk dunia. Akan menyusul lagu-lagu lain pula selepas ini, dan kami tidak sabar untuk seluruh dunia mendengarnya," katanya.


Bagaimanapun, fokus utama Silk Sonic ketika ini hanya tertumpu kepada promosi Leave The Door Open semata-mata. Mereka tidak mahu perhatian ramai tersasar dengan perkara lain dan mahu rahsiakan perancangan lain terlebih dulu.


"Kami tidak akan kongsikan apa lagi yang kami usahakan pada masa sama sekarang. Biarlah dunia ternanti-nanti dan nikmati terlebih dulu karya sulung yang baharu saja kami kongsikan kepada semua," katanya.


Duo terbabit sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik dunia. Meskipun nama Mars nampak lebih menyerlah berbanding .Paak, yang pasti keduanya meninggalkan sejarah sendiri termasuk memenangi Anugerah Grammy.


Nama Silk Sonic pula diberikan penerbit legenda Bootsy Collins yang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Lagu sulung mereka itu diterbitkan nama handalan iaitu Mars and D'Mile, dan ditulis sendiri Mars, .Paak, D'Mile, dan Bobby Brown.


Menghangatkan lagi perjalanan baharu Silk Sonic, mereka turut mencuri perhatian apabila tampil mempersembahkan lagu terbabit pada Anugerah Grammy baru-baru ini. Yang pasti, persembahan mereka cukup mendapat pujian luar biasa.


Tiada apa lagi boleh disangkal apabila Mars sudah menakluk pentas. Penjiwaan serta corak persembahannya sentiasa memukau meskipun kelihatan bersahaja. Aura penghiburnya jelas terlalu pekat dan tebal.


Bergabung pula dengan .Paak yang memiliki corak penjiwaan muzik dan persembahan padu, menonton Silk Sonic ibarat menonton 'raja segala raja'. Bukan setakat peminat, bintang ternama Hollywood termasuk Halle Barry kagum dan memuji duo terbabit.



--Sumber: Harian Metro

0 views0 comments