MPM masih tunggu jawapan kerajaan Sarawak


KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sedang menunggu jawapan balas daripada kerajaan Sarawak berhubung penganjuran 'Mini Sukan Para ASEAN' yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada Mac tahun depan.


Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya dijadual mengadakan perbincangan terperinci dengan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada bulan ini.


"Masih dalam perancangan," kata Megat kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Atlet Persatuan Boccia Selangor, di sini. "Kami sudah mengemukakan kertas kerja dan menunggu jawapan balas daripada pihak kementerian di sana.


"Satu perjumpaan akan dibuat pada bulan ini dan kami sedang menunggu tarikh. Begitupun, saya difahamkan beliau juga amat positif dengan penganjuran ini. Saya fikir, kami akan mengumumkannya selepas perjumpaan dengan menteri sukan Sarawak.


"Saya akan membuat pengumuman selepas perbincangan itu... ada beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan antaranya seperti bajet dan juga jenis acara."


Mini Sukan Para ASEAN adalah satu kejohanan berpasukan yang direncanakan MPM bagi menggantikan Sukan Para ASEAN di Filipina yang terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.


Sebanyak tujuh jenis sukan dijadual dipertandingkan pada temasya itu dengan objektif utama antaranya sebagai persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo dan Sukan Para ASEAN 2021 di Hanoi, Vietnam.


Ditanya sekiranya peningkatan kes COVID-19 di Sarawak ketika ini bakal mengganggu kelancaran kejohanan, Megat berkata: "Mungkin kes yang berlaku itu tak mengganggu di tempat yang kita akan anjurkan... tempat yang tak perlu ramai yang hadir.


"Kita memang mengharapkan kehadiran penonton, tetapi kami akan kawal. Perancangan itu juga akan dibincangkan selepas berjumpa dengan menteri sukan Sarawak. Kami mempunyai SOP (prosedur operasi standard) tetapi perlu diperhalusi, kita perlu tambah baik beberapa perkara lagi.


"Saya harap kes yang semakin meningkat itu, apabila kita menganjurkannya nanti sudah tidak ada lagi. Apapun saya mengharapkan orang ramai mengikuti SOP yang ditetapkan... lakukan apa yang sepatutnya supaya tidak lagi merebak."




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.