MPOB, Techbond hasilkan poliol berasaskan sawit


KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Techbond Greentech Sdn Bhd memeterai kerjasama pembangunan teknologi bagi penghasilan poliol berasaskan sawit.


Bahan itu digunakan sebagai salah satu komponen dalam perekat poliuretana bagi menggantikan perekat berasaskan formaldehida.


Kedua-dua pihak pada Februari lalu memeterai memorandum perjanjian pengkomersilan teknologi poliol berasaskan sawit.


Perjanjian membabitkan dua peringkat iaitu penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan formulasi perekat poliuretana dan diikuti dengan pengkomersilan teknologi.

Dengan penyerahan teknologi penghasilan poliol, Techbond Greentech akan menghasilkan poliol berasaskan minyak sawit yang mampan untuk pengeluaran perekat poliuretana gred industri yang baharu dan akhirnya mengkomersilkan produk berkenaan.


Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata usaha sama MPOB dan Techbond Greentech adalah situasi menang-menang bagi kerjasama R&D produk poliol berasaskan sawit yang berpotensi digunakan di dalam perekat poliuretana.


"Pembabitan pihak industri dan syarikat tempatan dalam pengkomersilan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB, meningkatkan kemajuan industri hiliran dalam pengeluaran produk tambah nilai berasaskan sawit yang menjana pendapatan tinggi.

"Kepakaran MPOB dalam membangunkan teknologi dalam industri sawit menyediakan peluang kepada syarikat tempatan serta perusahaan


kecil dan sederhana (PKS) mengambil peluang perniagaan yang tersedia bagi pengkomersilan teknologi," katanya pada majlis penyerahan dokumen pelesenan teknologi itu, hari ini.


Beliau menyaksikan majlis penyerahan dokumen pelesenan teknologi penghasilan poliol berasaskan sawit oleh Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Pengarah Urusan Techbond, Lee Seng Thye.


Ahmad Parveez berkata, penyelidikan bagi penghasilan poliol berasaskan sawit bagi kegunaan dalam produk jenis busa dan bukan busa poliuretana sudah dijalankan sejak awal 1990-an.


Katanya, proses penghasilan poliol berasaskan sawit oleh MPOB sudah dipatenkan di Malaysia (MY-145702-A) dan Amerika Syarikat (US7,932,409 B2), pada 2007 dan 2008.

"Sehingga 2019, MPOB sudah memfail paten sebanyak 369 teknologi dan

melancarkan 667 teknologi serta 174 perkhidmatan untuk tujuan

pengkomersilan," katanya.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.