Muhammad Shah Firdaus sah ke Olimpik 2020 - PKBM


KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sah akan bersama-sama Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Berita gembira itu disampaikan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan media selepas menerima pengesahan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Mac.


E-mel daripada Ketua Jabatan Trek UCI, Gilles Peruzzi itu mengesahkan Malaysia meraih dua slot dalam acara keirin dan pecut individu pada temasya sukan terbesar dunia itu, bersama 36 negara lain. "Kita sebenarnya hanya tahu secara samar-samar. Pada dasarnya kita telah dimaklumkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) bahawa Azizulhasni telah layak secara merit dalam dua acara iaitu keirin dan pecut.


"Pada masa yang sama, kita dimaklumkan bahawa Muhammad Shah Firdaus juga layak. Istilahnya ialah 'by nation'. Jadi untuk dapatkan maklumat tepat, PKBM telah mengutus sepucuk surat kepada UCI. "Surat berkenaan bertujuan untuk mengetahui status sebenar tentang kedudukan dan penyertaan Muhammad Shah Firdaus di Tokyo 2020," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab pada Rabu. Jelas Abu Samah, e-mel pengesahan daripada UCI itu juga turut dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Malaysia akan mengibar cabaran benua Asia di Sukan Olimpik 2020 bersama tuan rumah Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, China dan Kazakhstan dan daripada lima negara Asia itu, hanya Malaysia, Jepun dan Hong Kong meraih dua tiket maksimum dalam acara keirin serta pecut. Abu Samah turut berbangga dengan pencapaian Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang meneruskan detik kecemerlangan trek di Olimpik 2008 di Beijing, China dan Olimpik 2012 di London, Britain. "Sebelum ini kita ada kombinasi Azizulhasni dan Josiah Ng. Maknanya kita masih mampu teruskan tradisi kecemerlangan dalam acara trek di Sukan Olimpik," katanya. Sehingga kini, 12 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah). Enam lagi merupakan atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama, dan Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dalam acara berbasikal trek, (keirin dan pecut). -- BERNAMA


Source: Astro Awani

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.