Namakan stadium tanpa kelulusan, Hakim Ariff akan dikenakan tindakan



Alor Setar: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md Noor berikutan menamakan stadium mini di daerah itu tanpa kelulusan.


Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses menamakan jalan, bangunan atau stadium seharusnya dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum diluluskan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).


Beliau berkata, kerajaan negeri mendapati nama Stadium Mini Ffira Mikah hanya dibincang di peringkat Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) sehingga mencetuskan kontroversi kerana didakwa menggunakan nama terbalik Hakim Ariff.


"Sepatutnya PBT berkenaan mengangkat nama itu untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco terlebih dulu, itu prosedur kita biasa lakukan untuk menamakan apa saja nama jalan, taman perumahan atau stadium di negeri ini.


"Saya sendiri tidak bersetuju dengan nama itu, jadi saya serah kepada SUK untuk ambil tindakan sewajarnya kepada pegawai daerah terbabit sesuai dengan urusan pentadbiran," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.


Stadium Mini Ffira Mikah di Kuala Nerang yang dimiliki MDPT dirasmikan Hakim Ariff selaku Pegawai Daerah pada 7 Disember lalu, selepas dinaik taraf, namun tindakan menurunkan nama stadium itu sudah dilakukan pada Sabtu lalu.


Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata tiada nama baharu dikemukakan MDPT untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco bagi menggantikan nama Ffira Mikah.


"Hanya selepas Exco lulus boleh guna nama itu dan saya tidak fikir mereka akan guna balik nama Ffira Mikah kerana nama itu menyebabkan Padang Terap terkenal di seluruh dunia.


"Ada rahmat juga di sebalik nama itu, orang ramai mula cari di mana Padang Terap? Cuma saya sendiri terpalit apabila ada orang kaitkan kononnya saya yang cadangkan nama itu, tetapi itu tidak benar," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments