New Zealand pertimbang kemungkinan sekatan pergerakan



WELLINGTON: Kluster COVID-19 di Auckland dilihat semakin meningkat dan berkemungkinan sekatan pergerakan akan dilaksanakan ke atas bandar terbesar di negara itu.


Ketua Pengarah Kesihatan Kebangsaan, Ashley Bloomfield, berkata seorang pelajar sekolah menengah di Auckland diuji positif iaitu kontak rapat dengan kes positif lain, menjadikan jumlah jangkitan yang disahkan ialah lima dengan empat lain lagi berkemungkinan dijangkiti.


Malah, pihak berkuasa kesihatan turut bergegas mengarahkan sekatan pergerakan dilaksanakan selepas ujian mendapati empat anggota keluarga dijangkiti virus itu dari sumber yang tidak diketahui.


New Zealand sebelum ini bebas jangkitan selama 102 hari, dan kini penduduk Auckland diarahkan duduk di rumah yang akan berakhir tengah malam esok.


Bloomfield berkata, kemungkinan lebih banyak kes akan muncul dan pasukan pekerja kesihatan berusaha mencari punca kluster dengan menguji semua individu yang berkait rapat dengan pesakit positif COVID-19.


"Inilah yang kami lakukan supaya dapat mengetahui secepat mana wabak ini sudah tersebar dan siapa individu pertama yang menyebarkan virus ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata sebarang sekatan pergerakan yang akan dilaksanakan bergantung kepada siasatan dalam tempoh 24 jam.


Beliau menafikan satu pertanyaan mengenai ada virus itu diimport melalui penghantaran barang, yang kemudian menjangkiti seorang anggota keluarga lelaki yang bekerja di bilik sejuk untuk barang-barang yang diimport.


"Itu ada kemungkinan, tetapi tidak mungkin dan ia sesuatu yang perlu kita tolak," kata Bloomfield, sambil menambah bahawa fokus lain adalah sama ada jangkitan itu datang dari kemudahan pengasingan yang diuruskan.


Walaupun New Zealand berjaya mengawal wabak itu dengan hanya 22 kematian dalam populasi lima juta orang, pihak berkuasa kesihatan sentiasa menjangkakan COVID-19 akan kembali. - AFP



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments