NGO digesa anjur program lebih berimpak


BADAN bukan kerajaan (NGO) digesa mengadakan program yang lebih memberikan impak kepada masyarakat bagi membantu golongan memerlukan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, inisiatif itu perlu memandangkan terdapat terlalu ramai individu memerlukan bantuan ketika ini.

Katanya, NGO juga dinasihatkan tidak hanya mengadakan program kecil yang tidak diketahui pihak lain serta tidak memberi impak.


"Saya harap NGO dapat memainkan peranan yang lebih besar kerana kita ada terlalu ramai yang memerlukan bantuan.


"Peranan NGO juga diperlukan untuk membantu mereka selain usaha kerajaan yang tampil dengan pelbagai inisiatif.


"Masing-masing ada kebijaksanaan dan peranan yang boleh dimainkan," katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan dan Pelancaran Mobile Aplikasi Jejak Asnaf (MoJA) hari ini.


Hadir sama Pengerusi MAIWP Datuk Sri Syed Hussein Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Akbar Samon.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkifli berkata, aplikasi MoJA memudahkan orang awam melaporkan kepada Skuad Jejak Asnaf dan mereka yang memerlukan pada bila-bila masa dan di mana saja.


"Aplikasi ini dilengkapi ciri -ciri pengesanan lokasi GPS bagi memudahkan skuad untuk turun padang terus ke lokasi yang dilaporkan.


"Pengadu juga boleh mengambil gambar dan memuat naik menerusi aplikasi tersebut untuk memudahkn rujukan oleh Skuad Jejak Asnaf.


"Orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan diseru memuat turun aplikasi ini menerusi Google Play Store dan Apps Store bermula hari ini dan sama-sama membantu menyalurkan maklumat tentang mereka yang dalam kesusahan agar dapat disantuni semaksimum mungkin oleh MAIWP," katanya.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.