Pakej rangsangan Malaysia bantu kurangkan impak COVID-19 - Mustapa


KUALA LUMPUR, 25 Jun -- Pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek kerajaan telah berjaya mengurangkan impak pandemik COVID-19 dan membuka jalan ke arah pemulihan ekonomi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Malaysia beruntung kerana mempunyai ekonomi yang sangat pelbagai dan tidak bergantung hanya kepada satu atau dua sektor.  

“Dari segi penggubalan dasar, terdapat banyak penyelarasan antara agensi ekonomi utama yang diterajui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi penstriman langsung di laman Facebooknya semasa mengulas mengenai laporan World Bank Malaysia Economic Monitor bagi Jun 2020, yang dikeluarkan hari ini dengan topik khusus bertajuk ‘Surviving the Storm” dalam mendepani cabaran akibat daripada COVID-19 dan krisis ekonomi. 

“Kita menyambut baik dapatan dan cadangan daripada laporan Bank Dunia itu kerana ia menyediakan analisis yang kukuh dan meyakinkan mengenai cabaran ekonomi semasa dan akan membantu memaklumkan usaha kita untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” kata Mustapa. 

Dari segi tindak balas dasar, beliau berkata Malaysia bertindak sangat pantas dan telah melaksanakan dalam tempoh tiga bulan lepas tiga pakej oleh kerajaan sekarang dan satu pakej daripada kerajaan sebelumnya.  


“Dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ini, kita dapat mengurangkan impak COVID-19,” katanya. 

"Pertamanya kita dapat menyediakan makanan untuk rakyat, tiada keluarga yang tidak dapat mengakses kepada makanan.

"Kesihatan menjadi keutamaan kita sejak hari pertama, kita amat efektif dalam membendung wabak ini, dan beruntung kerana mempunyai ekonomi yang pelbagai, selain sektor pembuatan dan perkhidmatan yang pesat, yang sentiasa kukuh, (sementara) pertanian pula selepas ini, manakala perlombongan dan pembinaan juga bergerak dengan baik," katanya.


Kerajaan melaksanakan sejumlah inisiatif berikutan impak COVID-19 ke atas ekonomi menerusi dua pusingan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat iaitu seperti yang diumumkan pada Februari dan Mac lepas, serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara. Mengenai cabaran dalam melaksanakan pakej rangsangan, Mustapa berkata Kementerian Kewangan menerusi Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), sentiasa memantau perkembangan semua sektor.

"Jadi dari segi mekanisme platform, ia telah ditetapkan, untuk memastikan bantuan sampai kepada sasaran, itulah cabaran besar," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan banyak bantuan tunai untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, contohnya dalam bentuk geran bernilai RM3,000 kepada perusahaan mikro bagi memulakan semula perniagaan mereka.

Cabaran lain termasuk, untuk memastikan semua bantuan sampai kepada kumpulan sasar serta data yang tidak lengkap, katanya.

Beliau berkata penting untuk mempunyai data yang lengkap, justeru, pangkalan data semasa kerajaan berkaitan kemiskinan dan kemiskinan tegar akan disemak semula. Selain itu, katanya, dianggarkan empat juta orang terbabit dalam sektor tidak rasmi namun tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan. “Bagi kemajuan masa depan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di lapangan...kita ada banyak usaha libat urus dan inilah ciri utamanya.

“Dari aspek fisikal, pelan itu secara amnya dapat dilihat daripada dua perspektif. Pertama adalah strategi bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang -- kita memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada Oktober 2019 dengan tiga objektif utama dan mahukan rakyat Malaysia menikmati tahap kehidupan yang memuaskan. “Kedua, kita mahu merapatkan jurang -- pembangunan untuk semua dan akhirnya kita mahu mencapai sebuah negara yang bersatu dan berjaya.

“(Namun) pada masa sama, kebanyakan rakyat negara ini tidak mempunyai perlindungan sosial sebagaimana dibuktikan pandemik ini yang memberi cabaran ketika ramai, terutamanya mereka dalam sektor tidak rasmi -- nelayan, petani, dan penjaja. Mereka ini merupakan kelompok yang besar dan bilangannya akan terus meningkat di masa depan,” katanya.

Menurut Mustapa, terdapat peningkatan dalam ekonomi gig, (perkhidmatan) e-panggilan dan mereka yang terbabit dalam perniagaan makanan.

Justeru, jelas beliau, matlamat perlindungan sosial itu adalah bagi meningkatkan penyertaan rakyat tempatan yang menyumbang kepada pelbagai skim termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Malah, katanya, cabaran terbesar adalah membabitkan 50 peratus daripada rakyat yang tidak membuat sebarang caruman kepada KWSP.

Sehubungan itu, Mustapa menyifatkan aspek penyelarasan sebagai amat penting kerana dasar-dasar itu perlu menyokong usaha pemulihan COVID-19 serta pembangunan sistem perlindungan sosial yang dipertingkatkan. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

0 views0 comments