Pasangan OKU penglihatan usahakan gerai char kuetiau


KOTA BHARU: Pergerakan mereka yang lincah ketika memasak dan membancuh minuman di gerai kecil di hadapan rumah, langsung tidak memperlihatkan kelainan.


Bagaimanapun, hakikatnya pasangan suami isteri dari Kampung Padang Kedondong, di sini, Mohd Firdaus Mohd Noor, 37 dan Norizawati Abdul Latif, 46, adalah orang kurang upaya (OKU), masalah penglihatan.





Memulakan semula perniagaan menyediakan char kuetiau sejak sebulan lalu, selepas lama tergendala disebabkan pandemik COVID-19, kedai makan kecil itu hanya diusahakan oleh mereka berdua tanpa mengupah pembantu.


Mohd Firdaus yang mengalami masalah penglihatan sejak kecil, berkata walaupun sepasang matanya tidak berfungsi secara normal, pergerakannya ketika memasak dan menyediakan hidangan char kuetiau sentiasa lancar tanpa ada masalah.


"Syaratnya, jangan ada sesiapa yang 'mengacau' ketika saya di dapur kerana jika hanya saya yang mengendalikannya, segala letak duduk perkakas dan bahan masakan sudah diketahui walau adakalanya terpaksa meraba-raba juga.


"Isteri pula mengalami masalah rabun kedua-dua belah matanya dan tugas dia pula sebagai pembancuh minuman. Setakat ini, 'gandingan' kami memuaskan hati pelanggan," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, baru-baru ini.


Menyingkap punca menyebabkan pancaindera penglihatannya menjadi tidak normal, Mohd Firdaus yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, insiden itu berlaku ketika usianya empat tahun apabila dia terjatuh dan kecederaannya membabitkan saraf berhampiran mata.


Dia yang juga ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, berkata akibat dari kejadian itu, kedua-dua bebola matanya menjadi tidak normal menyebabkan objek dilihatnya tidak statik dan sentiasa bergerak, sekaligus menjadikan pandangannya kabur.


"Saya juga berdepan dengan masalah silau yang teruk pada waktu siang disebabkan itulah saya membuka gerai pada waktu malam, bermula jam 6 petang sehingga 11 malam.


"Isteri pula sejak lahir lagi menghadapi masalah rabun dan adakala pandangannya juga silau, bergantung kepada cuaca serta faktor kesihatan," katanya yang juga bekas cef di sebuah hotel di Ipoh.


Ketika ditanya sama ada pernah atau tidak dimarahi pelanggan disebabkan servis disediakan tidak memuaskan hati, seperti hidangan lambat sampai ke meja, Mohd Firdaus berkata, setakat ini belum pernah berdepan dengan kejadian sebegitu. Majoriti pelanggan yang datang ke gerainya sudah maklum akan kekurangan mereka berdua.


Katanya, ada juga pelanggan yang tidak mengetahui kekurangan itu dan terkejut apabila mendapat tahu mereka berdua OKU penglihatan kerana pergerakan suami isteri itu sepanjang mengendalikan gerai makan tidak menunjukkan perbezaan dengan mereka yang normal.


"Apa yang membezakan adalah kami tidak boleh membawa kenderaan sama ada motosikal atau kereta dan jika memerlukan kami ke mana-mana, saya akan mengupah jiran untuk memandu kereta milik saya.


"Begitu juga jika membeli bahan mentah, selalunya saya akan menggunakan khidmat penghantaran tunai," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments