Pasar Komuniti Stutong tutup gara-gara Covid


MAJLIS Bandaraya Kuching Selatan menutup operasi di Pasar Komuniti Stutong buat sementara waktu berikutan dua kes positif Covid-19 yang dilaporkan baru-baru ini.


Datuk Bandarnya Datuk Wee Hong Seng berkata, pasar itu akan dibuka semula apabila notis selanjutnya dikeluarkan.


"Dua peniaga dari pasar ini didapati positif setelah ujian Covid-19 secara rawak dijalankan.

"Keputusan menutup sementara operasi di pasar ini adalah bagi memastikan keselamatan orang awam yang berurusan di situ," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, lebih 200 peniaga yang menjalankan perniagaan di pasar itu diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya.


"Jika keputusan mereka negatif, kita akan lihat bagaimana kita akan membuka semula pasar dan sudah pasti kita amat menitikberatkan langkah berjaga-jaga serta kerja sanitasi dilakukan lagi.


"Kita menasihatkan pelanggan yang mengunjungi pasar dan mungkin menunjukkan tanda dan gejala virus digalakkan untuk melakukan ujian Covid-19," katanya.


Beliau berharap masyarakat tidak panik dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.


"Selagi vaksin belum dijumpai, selagi itu masyarakat tidak boleh mengambil jalan mudah dan mengabaikan SOP.


"Cuba elakkan tempat yang sesak, jarakkan diri, jaga kebersihan diri dan yang paling penting ialah sentiasa memakai pelitup muka," katanya.


Wee turut meminta orang ramai untuk berhenti menyebarkan khabar angin atau berita palsu mengenai kes berkaitan dengan Covid-19 yang boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments