Pelaksanaan semula PKP jejas aktiviti ekonomi


PUTRAJAYA: Rakyat perlu mengelak situasi yang mendorong pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes penularan meningkat mendadak.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelaksanaan semula PKP akan memberi kesan tidak hanya kepada kesihatan rakyat, malah aktiviti ekonomi yang kini sudah mulai pulih.


"Kita sudah sedia maklum Kedah akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) di empat mukim di negeri ini akibat peningkatan kes COVID-19 akibat kluster Sivagangga.


"Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan bahawa aktiviti ekonomi sudah mula kembali pulih selepas tempoh PKP, tetapi kita masih belum menang sepenuhnya dalam menangani penularan COVID-19. Kita harus elakkan satu situasi di mana kita terpaksa melaksanakan PKP semula," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berkongsi Laporan LAKSANA Ke-15 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi Facebook, hari ini.


Tengku Zafrul mengingatkan agar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial, pakai pelitup muka di tempat awam, elak tempat yang sempit dan sesak perlu dikekalkan


"Untuk kesihatan kita, keluarga dan kesejahteraan ekonomi negara, sama-samalah kita perangi jangkitan virus COVID-19," katanya.


Bulan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan kembali melaksanakan PKP sekiranya kes positif COVID-19 mencecah tiga angka.


Katanya, jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan.


Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan bahawa unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mungkin tidak akan tercapai jika PKP dikuatkuasakan semula.


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara impaknya adalah perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran yang berada pada tahap 5.3 peratus pada Mei lalu, boleh meningkat secara mendadak.


Ahli ekonomi dan persatuan perniagaan juga memberi amaran pelaksanaan semula PKP bakal memberi impak lebih besar kepada ekonomi negara yang akan menyebabkan lebih banyak perniagaan gulung tikar dan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments