Pendapatan RM2,500 di Kuala Lumpur mungkin dikategorikan miskin bandar



KUALA LUMPUR: Paras Garis Kemiskinan (PGK) baharu yang akan diumum kerajaan dalam masa terdekat perlu bercirikan lokaliti tertentu selain menambah beberapa lagi segmen yang dianggap satu keperluan bagi sebuah isi rumah.


Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata wujud perbezaan yang ketara dari segi kos sara hidup antara bandar tertentu di Malaysia.


Contohnya kata beliau, bagi bandar seperti Kota Bharu di Kelantan, dengan pendapatan RM1,500 sebulan, ia mungkin mencukupi bagi individu yang sudah berkeluarga, namun di bandar besar lain mungkin berbeza.


"Di Kuala Lumpur, dengan pendapatan RM2,500 sebulan mungkin dikategorikan sebagai miskin bandar. Sebab itu, ukuran PGK ini perlu dikhususkan mengikut lokaliti atau bandar-bandar.


"Mungkin Bandaraya Johor Bahru dan Georgetown, Pulau Pinang tidak sama dengan PGK di Kota Kinabalu di Sabah. Sama juga (PGK) di Kuala Lumpur pun berbeza dengan bandar-bandar yang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Katanya, pengkelasan PGK mengikut lokaliti ini akan membantu kerajaan untuk merangka dasar ekonomi yang lebih teliti dan bersasar.


Penilaian PGK juga mesti diperluas dengan mengambil kira perbelanjaan baru bagi setiap isi rumah yang kini boleh dianggap sebagai satu keperluan.


"Contohnya seperti bil Astro, bil telefon bimbit dan sebagainya. Ini dianggap sebagai keperluan utama bagi isi rumah sekarang. Jadi ia mesti dikira sebagai kos perbelanjaan.


"Sama juga bayaran pinjaman bank untuk kenderaan serta pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) juga dianggap sebagai satu keperluan pada masa kini," katanya.


Shazali yang juga Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, PGK juga mesti bersifat dinamik yang mana penilaiannya dibuat pada setiap masa.


Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, tidak menolak kemungkinan kadar kemiskinan negara meningkat apabila PGK baharu berdasarkan metodologi 2019 diumumkan dalam masa terdekat.


Ahli Parlimen Jeli itu berkata, ini kerana PGK RM980 bagi isi rumah yang ditetapkan mengikut metodologi 2005 sudah tidak relevan.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments