Penduduk PKPD di Pasar Borong terima bekalan makanan



KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), hari ini membekalkan barang keperluan harian kepada 20,166 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Borong Kuala Lumpur.


Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata daripada jumlah itu, seramai 6,000 penduduk adalah warga tempatan yang dibekalkan dengan bekalan makanan mentah.


Katanya, manakala jumlah selebihnya seramai 14,000 membabitkan warga asing yang kebanyakannya adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).


"Pengagihan kepada penduduk tempatan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


"Urusan pengagihan bagi warga asing dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM)" katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.


Beliau berkata, penghantaran bekalan itu dilakukan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).


Katanya, kesemua status warga asing di kawasan PKPD itu juga sedang disemak oleh pihak berkuasa.


"Anggaran asal cuma 1,300 penduduk tempatan. Tetapi kita mengusahakan tambahan dan kini semua bekalan berjaya dihantar kepada semua penduduk," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments