Pengalaman luas bantu Muhyiddin tadbir negara dengan baik


KUALA LUMPUR: Pengalaman 40 tahun dalam kerajaan dan politik yang dimiliki Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu membawa Malaysia ke arah lebih baik khususnya dalam usaha memulihkan kembali ekonomi dan imej negara, kata penganalisis politik. Bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata rekod dan prestasi baik yang ditonjolkan Muhyiddin sebelum ini tidak dapat diragukan.


"Pemilihan ini (pelantikan perdana menteri) tidak boleh disangkal. Beliau adalah orang yang tepat. Justeru, rakyat perlu memberi sedikit masa untuknya membuktikan beliau mampu mentadbir negara," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa. Ahmad Atory berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu diberikan ruang dan kepercayaan untuk membentuk barisan Kabinet seperti yang dijanjikan dalam ucapan sulungnya pada 2 Mac iaitu melantik anggota jemaah menteri dalam kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.


"Rakyat sentiasa menunggu janji untuk mengangkat menteri Kabinet yang profesional dan tidak terlibat dalam rasuah. Saya yakin, jika kita dapat beri sedikit masa, beliau (Muhyiddin) akan dapat mencari orang yang tepat dalam kalangan ahli parlimen yang tidak terlibat dalam rasuah," katanya. Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia Fahami Asrof Badaruddin berkata Muhyiddin merupakan individu yang layak dalam membuat dasar-dasar berkaitan pendidikan memandangkan beliau mempunyai pengalaman menerajui Kementerian Pendidikan sebelum ini. "Sebagai bekas Menteri Pendidikan dia orang yang tahu apa yang terbaik untuk cikgu-cikgu dan pelajar," katanya ketika mengulas ucapan Perdana Menteri itu pada Isnin yang berjanji akan berusaha untuk melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara selain memastikan taraf pendidikan setanding dengan negara-negara maju. Fahami dalam pada itu berharap Perdana Menteri kelapan itu memberi tumpuan kepada pembangunan belia di negara ini selain menunaikan janjinya dalam melantik anggota jemaah menteri dalam kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber. Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya Datuk Seri Erwan Mohd Tahir dalam kenyataan berkata Muhyiddin adalah seorang yang tegas dalam menentang amalan rasuah dan ia dibuktikan apabila Ahli Parlimen Pagoh itu sanggup mengorbankan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini semata-mata kerana menentang rasuah. "Bukti ini tidak dapat dinafikan. Rakyat juga berharap beliau akan menggembleng tenaga untuk membasmi jenayah yang kini nampaknya makin menjadi-jadi," katanya. Beliau dalam pada itu turut berharap pasukan elit Polis Diraja Malaysia antaranya Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) diwujudkan semula dalam usaha membendung jenayah. -- BERNAMA


Sumber: Astro Awani

2 views0 comments