Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng letak jawatan



Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng telah meletak jawatan dengan hujah bahawa parti itu harus dipimpin oleh seorang pemimpin Dayak bagi berdepan cabaran pilihan raya negeri yang mesti diadakan tahun depan.


"Setelah membuat pertimbangan mendalam, demi kepentingan terbaik PKR Sarawak, saya memutuskan bahawa parti ini mesti dipimpin oleh pemimpin Dayak dalam berdepan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.


“Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak yang mewakili 43 peratus penduduk manakala orang Melayu dan Cina hanya pada 24 peratus sahaja.


"Namun, kami mendapati bahawa kawasan termiskin dan paling mundur di Sarawak terletak di kawasan pedalaman Dayak," kata Sng dalam kenyataan di Facebook, hari ini.



Dia berkata kaum Dayak juga kurang diwakili di peringkat kepemimpinan tertinggi di peringkat kerajaan mahupun parti pembangkang.


"Presiden atau ketua parti dari PBB, PDP, SUPP, PKR, DAP, PSB, PBK dan Amanah sama ada orang Melayu atau Cina, walaupun parti mereka banyak disokong oleh orang Dayak," kata Sng yang adalah ahli parlimen Julau.


"Saya percaya bahawa dengan membuat perubahan dalam kepemimpinan PKR Sarawak ini, ia akan meningkatkan dan memberi kredibiliti kepada parti dalam memerangi ketidaksetaraan ekonomi di sektor swasta, ketidaksamaan dalam perkhidmatan awam dan tekad kita dalam menangani isu tanah adat kaum asli, " kata Sng yang merupakan anak kepada ahli politik dan tokoh perniagaan jutawan Sng Chee Hua.


"Walaupun saya terpilih di kerusi parlimen yang didominasi Dayak yang dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri, saya yakin parti itu akan dapat mencari pengganti yang baik."


Sng turut mengecam anggota parlimen PKR Sarawak yang berpaling tadah dengan meninggalkan parti itu dengan berkata bahawa jika mereka tetap setia, Pakatan Harapan masih akan menjadi kerajaan persekutuan.


"Kita seharusnya tidak menganggap pembelotan bekas anggota parlimen kita dari Puncak Borneo, Saratok, Lubok Antu dan Selangau sebagai krisis kepimpinan Dayak di PKR Sarawak.


"Adalah menyedihkan untuk berkata bahawa, sekiranya mereka tetap bersama PKR Sarawak, Pakatan Harapan masih akan kekal berkuasa hari ini.


"Dosa segelintir orang tidak boleh terpikul di bahu banyak pihak, dan saya yakin rakyat akan memilih PKR Sarawak semula untuk mewakili mereka di kawasan-kawasan yang telah kita kecundang," tambahnya.


Sng berkata bahawa dia akan membincangkan perkara itu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk memastikan peralihan yang lancar dalam pemilihan penggantinya.


Sng pertama kali bertanding di bawah tiket Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDP) pada pilihan raya negeri 2001, ketika menggantikan bapanya sebagai wakil rakyat DUN Pelagus.


Dia berkhidmat dua penggal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri BN untuk Pelagus dari 2001 hingga 2011 dan dilantik sebagai pembantu menteri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud pada tahun 2004.


Dia kemudian mewakili Parti Rakyat Sarawak dan Parti Pekerja Sarawak sebelum menyertai PKR selepas menang parlimen Julau sebagai calon bebas pada PRU 2018.


Dia dilantik sebagai pengerusi PKR Sarawak pada Mac ini.


Pilihan raya negeri Sarawak kali terakhir diadakan pada Mei 2016 dan dengan itu, pemilihan mesti diadakan pada tahun 2021.


Ketika dihubungi mengenai keputusan Sng yang meletak jawatan, Ketua Wanita PKR Sarawak, Agnes Padan berkata bahawa dia menghormati keputusan itu.


"Sukar untuk saya terima tetapi saya menghormati keputusannya.


"Tetapi sebagai rakyat Sarawak, saya harap kita harus menjauhkan diri dari politik berasaskan kaum," tambahnya.



Sumber: Malaysia Kini

0 views0 comments