Penghidap kanser jual arnab demi langsai PTPTN



MACHANG: Seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menderita penyakit kanser pangkal hidung tahap empat, memelihara dan menjual arnab sejak dua tahun lalu demi kelangsungan hidupnya.


Abdul Halim Mat Hassan, 26, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan, pada mulanya hanya membela arnab sebagai hobi mengisi masa terluang serta dijadikan terapi diri, namun kini menjadi sumber pendapatan untuknya.


Katanya, disebabkan keadaan dirinya yang terbatas serta menyukarkannya untuk bekerja di luar rumah atau pekerjaan yang selari dengan bidang pengajiannya, menyebabkan dia memilih untuk memelihara serta menjual arnab walaupun pendapatan diperoleh tidak seberapa.


"Sehingga kini saya sudah menjual lebih 200 arnab kepada penduduk sekitar dengan harga RM30 untuk dua ekor bergantung kepada saiz.


"Saya perlu berusaha mencari duit sendiri kerana ayah hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu, manakala ibu pula suri rumah dan adik beradik yang lain bukan dalam kalangan orang senang.


"Saya perlu kuatkan semangat lebih-lebih lagi memikirkan perlu membayar hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM26,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Kiok, di sini, semalam.


Menceritakan penyakit yang dideritai itu, anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, dia dikesan menghidap kanser Oktober 2017 selepas berasa kebas di bahagian pipi selain menyebabkan mata kirinya buta.


"Bimbang dengan keadaan ini, saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengesahkan saya menghidap kanser pangkal hidung serta perlu menjalani rawatan.


"Separuh muka bahagian kiri saya kini kebas dan mata kiri juga tidak berfungsi.


"Selama setahun saya perlu menjalani rawatan termasuk radioterapi sebanyak 36 kali dan kimoterapi tujuh pusingan untuk menghalang sel kanser daripada merebak dan pada masa sama doktor juga terpaksa menebuk bahagian leher saya untuk saluran pernafasan," katanya yang kini hanya berselera untuk makan bijirin berharga RM15 setin dan hanya bertahan selama tiga hari.

Selain itu, dia bergantung kepada nasi kosong yang di mesin hancur dan dicampur dengan sayur lembut memandangkan sudah tidak mempunyai selera untuk menikmati makanan lain.


"Pada masa sama, saya juga turut berpantang serta mengelak mengambil makanan yang boleh menyebabkan sel kanser semakin aktif," katanya.


Abdul Halim berkata beliau menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.


Disebabkan penyakitnya itu, dia pernah menangguhkan pengajian selama dua semester sebelum kesihatannya benar-benar pulih.


"Saya menyimpan hasrat bagi membantu kedua orang tua saya sebaik menamatkan pengajian memandangkan saya anak pertama dalam keluarga yang berjaya ke menara gading.


"Namun saya sendiri tidak menyangka menghidap penyakit kanser, namun saya menerimanya dengan reda dan yakin perancangan Allah SWT adalah yang terbaik," katanya.


NSTP sebelum ini pernah melaporkan, satu mini konvokesyen diadakan di rumah Abdul Halim pada tahun lalu dengan penuh adat istiadat oleh UMK untuk meraikan kejayaannya yang berjaya menghabiskan pengajiannya walaupun berdepan tempoh sukar.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments

Recent Posts

See All