Pentadbiran kerajaan Sarawak tidak terjejas - Abang Johari


MIRI: Pentadbiran kerajaan Sarawak tidak terjejas biarpun lima anggota Kabinet negeri itu, termasuk dua orang timbalan ketua menteri, diarahkan untuk mengkuarantinkan diri mereka di rumah, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.


Katanya kemajuan teknologi komunikasi masa kini membolehkan kesemua menteri terlibat meneruskan tanggungjawab mereka biarpun terpaksa mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari selepas mereka didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang yang disahkan positif COVID-19.


"Kami masih berhubung menggunakan teknologi... badan saja ke lain (tetapi) mereka punya hati semua sudah bekerja," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian simbolik bantuan makanan untuk penduduk luar bandar di Miri, di utara Sarawak pada Ahad.