Penyanyi rap cuba nasib bertanding jawatan Presiden AS


WASHINGTON: Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Kanye West, semalam melancarkan kempennya bagi pemilihan Presiden AS pada November ini.


Pelancaran kempen yang kucar-kacir dan sama sekali tidak mungkin menewaskan penyandang Presiden AS, Donald Trump itu menyaksikan penyanyi terbabit menangis ketika menyampaikan ucapan yang meleret panjang


Sambil memakai jaket kalis peluru bertanda 'security', West dalam ucapannya, antara lain mendakwa beliau mahukan isterinya, Kim Kardashian, menggugurkan kandungannya ketika hamil dengan anak pertama mereka.


Beliau juga mendakwa pejuang hak kulit hitam dan pengharaman perhambaan, Harriet Tubman, sebenarnya 'tidak membebaskan hamba abdi'.


"Harriet Tubman sebenarnya tidak pernah membebaskan hamba, beliau hanya minta mereka bekerja untuk orang kulit putih yang lain," katanya.


Dalam acara di Charleston, South Carolina, itu Kanye berkata beliau mahukan isterinya menggugurkan kandungan ketika hamil dengan anak perempuan sulung mereka, North.


Malah, Kanye turut mendedahkan bapanya juga mahukan ibunya menggugurkan beliau ketika dalam kandungan.


"Bapa saya mahu gugurkan saya. Ibu saya selamatkan nyawa saya. Tidak akan wujud Kanye West kerana bapa saya terlalu sibuk," katanya sambil menangis.


Kemudian, beliau menjerit: "Saya hampir bunuh anak saya! Saya hampir bunuh anak saya!".


Klip video ucapan West yang menjadi tular di media sosial itu mencetuskan kekeliruan, kemarahan dan kerisauan terhadap kesihatan mental penyanyi itu.


Media AS melaporkan, acara berkenaan hanya dibuka kepada jemputan khas saja dan semua yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka serta menandatangani surat pengecualian liabiliti terhadap COVID-19 selain mengamalkan penjarakan sosial.


Ketika hanya tinggal kurang empat bulan sebelum pemilihan presiden pada November ini, West, 43, membuat kejutan pada 4 Julai lalu apabila mengumumkan menerusi ciapan Twitter bahawa mahu mencabar Trump.


Beliau, yang menjadi terkenal apabila memakai topi tertera slogan 'Make America Great Again' ketika bertemu Trump di Rumah Putih pada 2018, tidak mengemukakan sebarang butiran mengenai kempennya.


Bagaimanapun, bintang hip-hop itu berkata beliau kini tidak lagi menyokong Trump sebagai Presiden AS.


Minggu lalu, media AS melaporkan West menarik diri daripada pemilihan presiden kerana tarikh tutup bagi pencalonan presiden sudah tamat di kebanyakan negeri, namun difahamkan nama beliau tersenarai di Oklahoma. - AFP




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.