Peranan generasi kedua teruskan pembangunan Felda



PEKAN, 6 Julai  -- Jika pergi ke mana-mana kawasan tanah rancangan Felda, pasti dapat dilihat kejayaan satu kelompok masyarakat yang suatu ketika dahulu begitu susah tetapi kini telah berjaya mengubah kehidupan mereka, malah Felda sendiri telah menjadi jenama yang kuat di negara ini.

Ini adalah hasil pengorbanan peneroka awal Felda yang bersusah payah tanpa sebarang kemudahan asas sehingga kawasan Felda kini menjadi satu penempatan tersusun, dengan kehidupan penduduk asalnya sudah jauh berubah.


Namun, cabaran baharu di Felda kini adalah bagaimana anak-anak peneroka asal atau lebih dikenali sebagai generasi kedua peneroka untuk membantu memastikan kehidupan di Felda lebih baik berbanding zaman ibu bapa mereka tanpa mengetepikan identiti Felda dalam diri mereka. 

Bagi generasi kedua Felda Chini 3, Mohd Khairy Barderin, 28, masalah yang membelenggu generasi  kedua adalah tentang siapa yang akan meneruskan usaha ibu bapa mereka menguruskan ladang kerana hanya seorang atau dua orang anak peneroka yang berpeluang meneruskan pekerjaan dalam bidang perladangan.

"Ini menyebabkan ramai generasi kedua atau ketiga peneroka Felda yang mengambil keputusan berhijrah dari tanah rancangan ini atau membuka perniagaan mereka sendiri di tempat lain,” katanya kepada Bernama.


Beliau sendiri, setelah tamat pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan dari sebuah universiti, ada mendapat tawaran kerja di Gurun, Kedah tetapi terpaksa membatalkan hasrat berhijrah kerana memikirkan beliau perlu terus berada di Felda.

Tanpa banyak peluang pekerjaan berhampiran Gugusan Felda Chini, beliau mengusahakan kedai serbaneka 24 jam di Felda Chini, yang bagi beliau satu projek berskala besar yang boleh dilakukan dalam kawasan Felda, untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia selain menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Katanya, apabila hanya mengharapkan peluang pekerjaan, ramai yang tidak menyedari banyak bantuan untuk golongan muda di Felda meneroka bidang perniagaan, yang sekali gus membantu membangunkan lagi ekonomi di Felda. 


 “Felda perlu melakukan lebih banyak promosi terhadap bantuan dan insentif yang disediakan bagi belia untuk mula berniaga, kerana masih ramai yang tidak mengetahui perkara itu," katanya.

Generasi baharu Felda pada hari ini mungkin tidak menghadapi cabaran yang sama seperti mana yang terpaksa dihadapi generasi terdahulu. 

Mereka mungkin tidak perlu membanting tulang empat kerat untuk membuka hutan tebal bagi dijadikan kawasan baharu perladangan seperti yang dilakukan generasi pertama peneroka Felda sejak tanah rancangan berkenaan mula diwujudkan di Lurah Bilut, Bentong, Pahang pada 1958.

Namun adalah penting, mereka boleh memainkan peranan untuk mengubah wajah Felda menjadi lebih baik, apatah lagi Felda sering kali dikaitkan dengan gejala sosial seperti dadah dan merempit.

Siti Hasmiza Adenan, 28, juga dari Felda Chini 3, yang merupakan seorang pekerja syarikat telekomunikasi di Kuantan berkata meskipun ramai generasi baharu Felda yang telah berhijrah, sebenarnya masih ramai yang berminat untuk pulang dan menetap di tanah rancangan itu dengan mencari peluang ekonomi lain.

Mereka mungkin boleh menceburi bidang perniagaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan, namun isu terbesar adalah perumahan kerana tanah di Felda seperti Gugusan Felda Chini telah diperuntukkan untuk peneroka asal bagi ladang dan rumah. 

“Tidak semua anak peneroka boleh tinggal di rumah ibu bapa mereka. Pada pendapat saya masalah ini boleh diatasi dengan memperbanyakkan projek perumahan generasi ini dengan memanfaatkan kawasan tanah terbiar atau lot rumah yang sudah tidak berpenghuni," katanya.

Sementara itu, Mohamad Salleh Mohamad Arshad, 27, juga generasi kedua Felda berkata kekurangan pekerjaan yang tersedia di kawasan berkenaan membuatkan beliau menceburi bidang pembuatan kek dan pastri.

Katanya, kemahiran yang dipelajarinya sejak tingkatan tiga itu pada ketika ini memberinya pendapatan yang agak baik.

Beliau berkata hasil usahanya, beliau telah berjaya memiliki kedai sendiri selepas lima tahun berniaga.

"Pekerjaan memang kurang dalam kawasan Felda ini dan sebab itulah saya mengambil maklum apa yang diperlukan masyarakat di sini supaya saya boleh menjualnya. Untuk roti contohnya tidak pernah lagi roti yang dibuat pada hari ini tidak habis dijual dalam masa seminggu, biasanya habis pada hari sama," katanya. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments