Perlu kajian semula


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dasar pembangunan ekonomi Sarawak perlu dirumus dan diselaraskan semula bagi menyelesaikan isu pendapatan rendah isi rumah pada RM5,218 bagi tahun 2019.


Beliau berkata usaha itu harus membuka laluan untuk menyaksikan hasil ekonomi negeri ini dibahagikan lebih adil kepada rakyat Sarawak.


"Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada tahun lalu (2019) ialah RM136.05 bilion, jumlah yang agak tinggi kerana hasil daripada industri minyak dan gas.


"Namun malangnya ia tidak diterjemah kepada peningkatan pendapatan sebenar rakyat," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020) untuk Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu beliau diberi taklimat mengenai pelaksanaan MyCensus 2020 oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perangkaan Dayang Rozana Abang Hassan.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Pesuruhjaya Banci Sarawak Datu Ik Pahon Joyik.

Abang Johari berkata, baru-baru ini kerajaan persekutuan mengumumkan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,2028, sudah tentu akan meningkatkan jumlah rakyat berada di bawah kadar kemiskinan.


Justeru ujarnya, banci kebangsaan yang sedang berlangsung ketika ini penting kepada pembangunan negara dan Sarawak, khasnya.


Mengenai tahap purata pendapatan isi rumah yang rendah di Sarawak, Abang Johari berkata angka pendapatan per kapita yang tinggi bagi negeri ini tidak memberi gambaran sebenar pengagihan kekayaan dalam kalangan rakyat.


"Hasil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 akan membantu Sarawak merumus pelbagai pendekatan ekonomi yang dihasilkan bagi meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.


Beliau menegaskan sebab itulah data hasil daripada bancian itu penting kepada Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini memberi kerjasama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memastikan kelancaran pelaksanaan bancian kali ini.


Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia sepuluh tahun sekali itu telah dilaksanakan sebanyak lima kali bermula 1970 dan kali terakhir dilakukan pada 2010.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia tahun ini bermula 7 Julai 2020 menyaksikan pengenalan kepada Sistem Banci Penduduk Bersepadu Malaysia (MyIPCS) bagi memodenkan MyCensus 2020.


MyIPCS merupakan sistem banci berpusat dan komprehensif dengan penambahbaikan e-Census yang menampilkan kerangka kerja bersepadu meliputi proses pengumpulan data rumit, analisis dan pengagihan.


MyCensus 2020 menyaksikan beberapa soalan tambahan mengenai perincian perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial, bagi mendapat gambaran mengenai corak gaya hidup masyarakat.




Sumber: Utusan Borneo

0 views0 comments

Recent Posts

See All