Perlu kuarantin di hotel sebaik tiba di Sarawak berkuat kuasa 1 Ogos


KUCHING: Semua warganegara Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang tiba di negeri ini akan dikuarantin di hotel berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos 2020. 


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata perkara ini diputuskan dalam mesyuarat hari ini yang dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan ujian PCR COVID-19 negatif, barulah mereka dibenarkan balik. 


“Manakala kemasukan rakyat Sarawak dari luar negara seperti yang diumumkan sebelum ini adalah dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan. 


Selain itu JPBNS turut memaklumkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan pelaksanaan pengesanan kontak secara aktif kes di kawasan Kota Sentosa. 


"Beberapa strategi lain juga akan diumumkan dengan lebih terperinci dalam masa terdekat ini selepas diperhalusi JPBNS," katanya.


Antara strategi lain yang akan diumumkan adalah kawalan pergerakan antara daerah, pengurangan jumlah penerbangan dan mengurangkan tempoh masa operasi perniagaan. 

Terdahulu, JPBNS turut memaklumkan bahawa jumlah kes positif COVID-19 di daerah Kuching terdiri daripada 38 kes jangkitan tempatan dan 14 kes import. 


Manakala daerah Samarahan merekodkan 11 kes jangkitan tempatan dan dua kes import. 

Lundu pula adalah merekodkan satu kes import, dan Bau satu kes tempatan manakala Bintulu merekodkan empat kes import. 


Dalam pada itu, Politeknik Kuching Sarawak akan menangguhkan pembukaan sesi pengajian Jun 2020 atas nasihat JPBNS. 


Penangguhan ini melibatkan kira-kira 826 orang pelajar baharu Semester 1 dan 3538 orang pelajar senior (Semester 2 hingga Semester 5).



Sumber: Utusan Borneo 

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.