Perodua sokong



PERODUA bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kelangsungan hidup industri dalam tempoh sukar sekarang berikutan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan termasuk pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi memperkukuh industri automotif Malaysia khususnya dalam saat-saat yang mencabar.

"Ini adalah tempoh yang benar-benar menguji kita semua. Bagaimanapun, Perodua yakin dengan kerjasama kerajaan, industri serta ekosistem pembekal dan peniaga akan dapat mengharungi badai ini bersama-sama," katanya dalam satu yang dikeluarkan kenyataan, semalam.


Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dalam laporan terkini menganggarkan penurunan 28 peratus dalam jualan kereta baharu pada tahun ini disebabkan oleh PKP dan untuk membolehkan perniagaan automotif melangsungkan operasi, ia memerlukan minimum 500,000 dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2020.


Antara insentif yang digariskan MARii bagi merangsang permintaan termasuk pengecualian sementara ke atas pembayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pembuat kereta serta kerajaan membabitkan cukai jalan dan insurans untuk tempoh masa yang terhad.


Beliau berkata, Perodua melakukan bahagiannya bagi mengekalkan ekosistemnya yang luas merangkumi pembekal dan peniaga.


"Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, tempoh kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi operasi dan program pembangunan," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments