PKP bukan alasan untuk atlet cilik tidak berlatih


KUALA LUMPUR, 16 April -- Penyesuaian baharu latihan dan gelanggang menjadikan atlet cilik terus kekal aktif dalam sukan masing-masing disepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas kini memasuki fasa ketiga iaitu sehingga 28 April ini, yang menyaksikan majoriti rakyat Malaysia duduk di rumah.

Selain terus belajar secara dalam talian (online) dan menerima kerja sekolah daripada guru masing-masing, atlet cilik ini menggunakan waktu terluang berlatih di rumah supaya tahap kecergasan dan teknikal permainan dalam sukan yang digemari mereka masih ditahap tertinggi.


Bagi pemain catur, Izz Zaharin Mohamad Zaidi, 12, tindakan awal diambil oleh ibu bapa dan jurulatih caturnya ialah berlatih berkomunikasi secara dalam talian. Dengan cara ini Izz Zaharin dapat memastikan teknikal permainannya dapat dipantau oleh jurulatih Mohd Aiziuddin Mohammad Johar.

Beliau berlatih bersama jurulatihnya itu selama empat jam dua kali seminggu dan dengan cara tersebut jurulatih itu dapat memantau perkembangan permainannya. Pemain tenis Akid Danis Shariem Aizul, 8, pula berkata latihan di rumah sepanjang PKP amat penting bagi persediaannya mengharungi beberapa kejohanan selepas wabak COVID-19 berakhir kelak. Beliau berlatih bersama abangnya Akid Dameer Shariem Aizul, 14, yang juga seorang pemain dan jurulatih tenis, di kawasan rumah mereka dimana latihan tertumpu kepada teknik pukulan, latihan kepantasan dan kecergasan iaitu elemen penting dalam sukan tenis. Izz Zinnirah Shahrizan, 8, yang aktif dalam sukan taekwondo, PKP bukan penghalang untuk beliau berlatih cuma galanggangnya kini adalah di rumah. Sukan taekwondo amat menitik beratkan teknik tendangan dan kecergasan yang tinggi oleh itu beliau harus berlatih setiap hari bagi memastikan tahap kesiapsiagaannya adalah tinggi. Beliau berlatih selama dua jam sehari bersama kakaknya. Ikuti Pengalaman atlet cilik ini dalam video yang disediakan oleh Bernama Digital Journal.  -- BERNAMA



Sumber: Bernama

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.