PKPB: Rakyat sudah faham amal kawalan kendiri, disiplin diri - Ismail Sabri



KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 dan mempunyai rancangan mengenainya.


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu ada dibincangkan dan jika tercetus kembali kes positif yang naik mendadak kerajaan akan buat keputusan waktu itu.


"Kita akan putuskan apa yang patut kita lakukan. Langkah yang diambil kerajaan adalah terancang dan semua dilaksanakan dalam keadaan bersedia.


"Kita juga membuat pemantauan bagi kita melihat sebarang kemungkinan," katanya dalam wawancara ekslusif bersama BH baru-baru ini.


Sementara itu, mengulas pelaksanaan PKPB, katanya keseluruhannya kerajaan berpuas hati.


"Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat kerana buat kawalan kendiri.


"Polis melaporkan banyak kereta yang keluar, lebih banyak berbanding hari sebelumnya, tetapi keadaan terkawal, malah di luar jangkaan.


"Saya jangkakan untuk hari pertama, orang akan keluar beramai-ramai macam hari raya, 'yahoo' kerana sudah lama tidak keluar, tetapi itu tidak berlaku," katanya.


Beliau berkata, rakyat kita sudah faham dengan mendisiplinkan diri dan kawalan kendiri.


"Saya juga lihat orang ramai mengamalkan penjarakan sosial sehingga sanggup beratur panjang untuk masuk ke pasar raya. Rakyat patuh.


"Ramai yang mengkritik PKPB dengan alasan bimbang rakyat tidak patuh sehingga berlaku keadaan tidak terkawal. Namun tidak berlaku seperti itu, walaupun mungkin ada kes tertentu yang tidak patuh," katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments

Recent Posts

See All