PKPP: Tiada larangan kanak-kanak keluar, riadah



KUALA LUMPUR: Kanak-kanak tidak dilarang untuk beriadah di taman permainan dan meluangkan masa di pusat beli-belah bersama keluarga, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata taman permainan dan pelbagai tempat guna awam mula dibuka sejak kerajaan melaksanakan PKPP pada 10 Jun lalu.


Bagaimanapun, katanya, ibu bapa harus sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan kanak-kanak yang sehingga kini dikategorikan sebagai golongan berisiko mendapat jangkitan COVID-19.


"Sekarang ini (kanak-kanak) sudah boleh (keluar), tiada larangan untuk mereka beriadah di taman permainan yang sudah dibuka.


"Cuma peringatan yang ingin ditegaskan di sini ialah jangan berhimpun beramai-ramai di kawasan riadah sebab kita perlu mengamalkan penjarakan sosial.


"Begitu juga dengan pusat beli-belah, tiada tegahan yang tidak membenarkan kanak-kanak untuk pergi beli permainan bersama ibu bapa di pusat beli-belah," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKPP, di Putrajaya, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tekanan mental dalam kalangan kanak-kanak selepas mereka terpaksa 'berkurung' selama tiga bulan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.


Antara petanda tekanan mental yang dikatakan mula meruncing dan kelihatan dalam kalangan kanak-kanak ialah kemurungan, kurang selera makan dan cenderung bersendirian.


Bagaimanapun Ismail menjelaskan kerajaan sehingga kini mengambil pendirian untuk tidak menggalakkan ibu bapa membawa kanak-kanak di tempat awam.


"Tiada hukuman yang diperuntukkan kepada ibu bapa sekiranya ingin bawa anak mereka ke tempat awam seperti pusat beli-belah dan restoran.


"Tetapi kita galakkan supaya mereka tidak bawa anak bersama memandangkan golongan kanak-kanak adalah berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19.


"Sebenarnya tiada isu mereka (kanak-kanak) tidak dibenarkan melihat 'dunia' kerana kita sudah lama benarkan mereka berbuat demikian.


"Cuma, ibu bapa perlu pastikan mereka (kanak-kanak) terhindar daripada jangkitan COVID-19," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.