Poad tetap pilihan



PEMEGANG rekod kebangsaan 100 meter, Khairul Hafiz Jantan menegaskan dia masih percayakan kemampuan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang bertanggungjawab membimbingnya hingga menjadi pelari terbaik Malaysia.


Kata raja pecut Asia Tenggara 2017 itu, kelibatnya menjalani latihan di Bukit Jalil itu adalah arahan daripada Poad yang mahukan dia beralih angin dan berlatih bersama pengarah teknikal olahraga, Dwayne Miller untuk tempoh dua minggu.


Bagaimanapun Khairul Hafiz yang dikenali dengan panggilan The Speedy Jantan memaklumkan memang dia ada bertemu dengan ketua jurulatih, Mohd Manshahar Abdul Jalil, namun belum ada kata putus lagi berhubung perpindahannya ke KL.


"Memang saya ada cakap tapi belum pasti saya akan pindah ke KL. Saya perlukan semua pihak untuk berbincang dengan saya dulu sebelum keluarkan apa-apa kenyataan.


"Saya tidak mahu orang sesuka hati bercakap saya akan bersama jurulatih lain kerana saya masih percayakan 'coach' Poad," katanya.


Kata Khairul, isu itu akan dapat diselesaikan dengan perjumpaan lanjut perlu diadakan membabitkan Poad, Miller dan Manshahar bagi membincangkan program seterusnya.


Perkhabaran Khairul akan meninggalkan Poad bersama Haiqal Hanafi mula bertebaran selepas kelibatnya dilihat di Bukit Jalil menjalani latihan bersama Miller.


Sementara itu, Poad berkata, tiada istilah kecil hati jika tidak lagi bergelar jurulatih kepada Khairul Hafiz dan Haiqal malah tugas hakikinya sebagai seorang guru dan jurulatih tetap akan diteruskan seperti biasa.


"Tiada apa yang saya nak sesalkan sebab saya sudah lahirkan pemegang rekod kebangsaan dan meraih dua emas di Sukan Sea berturut-turut daripada dua orang yang berbeza.


"Saya ada pengalaman lahirkan atlet dari bawah hingga mereka berjaya. Saya doakan kedua-dua mereka berjaya dan saya juga akan doakan atlet di sana (KL) dapat menyesuaikan diri dengan latihan yang baru dan berjaya," katanya.


Namun dia sedikit terguris apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan tanpa ada perbincangan bersama beliau dan hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan media.


"Saya sebagai jurulatih terima saja segala perancangan pihak atasan. Tapi patutnya perkara ini dibincangkan dan meminta pandangan saya terlebih dahulu sebelum kenyataan dikeluarkan di media. Nampak perkara ini tak beberapa manis.


"Saya harap pihak tertentu perlu jagalah perkara macam ini sebab kita manusia dan ada perasaan," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.