Polis buru dua lelaki aktif samun di Bukit Tinggi



KLANG: Polis memburu dua lelaki yang aktif meragut dan menyamun mangsa menggunakan motosikal Yamaha 125Z di sekitar Sentosa dan Bukit Tinggi di sini, sejak sebulan lalu.


Dua suspek tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dipercayai menunggang motosikal berwarna biru dengan menjadikan pejalan kaki sebagai sasaran utama.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek terlibat dalam lima kes dengan nilai kerugian dianggarkan RM10,000.


“Mereka yang bertubuh kurus itu dipercayai menggunakan pelitup muka bagi mengelak diri dikenali.


“Semua kes yang dilaporkan melibatkan kes meragut barang kemas termasuk mangsa lelaki,” katanya kepada pemberita selepas taklimat penugasan Op Cegah Jenayah Bersepadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.


Menurut beliau, pihaknya sedang menyiasat sama ada kedua-dua suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain atau bergerak secara berasingan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


“Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya untuk tindakan lanjut,” katanya.


Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, kawasan di Sentosa dan Bukit Tinggi antara lokasi panas yang menjadi tumpuan bagi Op Cegah Jenayah Bersepadu dijalankan pihaknya bermula hari ini.


“Operasi khas yang dijalankan di sekitar daerah ini bertujuan menurunkan kadar jenayah semasa terutama melibatkan kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan.


“Selain itu, kita juga melaksanakan program bersama komuniti bagi mewujudkan kesedaran orang ramai bersama membanteras aktiviti jenayah,” katanya.



-UTUSAN

0 views0 comments