Program ‘Mobile Island’ bantu 368 penduduk kawasan pulau terima BSH, BPN 2020 secara tunai


KUDAT, 19 Julai -- Seramai 368 penduduk dari Pulau Banggi dan pulau sekitarnya, dekat sini, menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2020 secara tunai menerusi program ‘Mobile Island’, satu daripada inisiatif di bawah program perkhidmatan komuniti bergerak dilaksanakan  Perbendaharaan Malaysia Sabah.

Program penyerahan bantuan berlangsung selama dua hari berakhir hari ini itu membabitkan sebanyak 43 kampung di sekitar Pulau Banggi dan pulau-pulau berhampirannya seperti Pulau Balambangan, Pulau Tigaboh, Pulau Malawali dan Pulau Sibogoh.

Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Perbendaharaan Malaysia Sabah, Siti Norhaini Osli berkata, kesemua penduduk terbabit adalah sebahagian daripada 11,330 penerima BSH di Sabah bagi Fasa Dua dan Fasa Tiga serta BPN 2020 di negeri ini yang layak menerima bantuan berkenaan tetapi tidak mempunyai akaun bank.

Beliau berkata penyerahan BSH dan BPN 2020 secara tunai menerusi program ‘Mobile Island’ itu bertujuan memastikan tiada seorang daripada mereka tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

”Ia juga bagi memudahkan penerima BSH dan BPN di kawasan pulau terbabit yang tidak mempunyai akuan bank menerima bantuan mereka secara tunai yang diserahkan sendiri oleh pejabat daerah dan agensi terlibat dalam program ini.

“Selain itu, ini juga merupakan komitmen dan peranan kami (sebagai penjawat awam) dalam memastikan semua bantuan diumumkan kerajaan sampai kepada rakyat,” katanya kepada Bernama yang turut menyertai program dua hari itu di sini, hari ini.


Siti Norhaini berkata pelbagai jabatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bekerjasama dalam menjayakan program ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pejabat Daerah Kudat, Pejabat Daerah Kecil Banggi dan pasukan keselamatan.

Katanya, penyerahan BSH dan BPN secara tunai melalui program perkhidmatan komuniti bergerak akan diteruskan ke Nabawan pada 25 Julai ini.

Selain Pulau Banggi dan Nabawan, Siti Norhaini berkata, penyerahan BSH dan BPN 2020 secara tunai kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank turut dilaksanakan di lapan daerah lain seperti Kalabakan, Kemabong, Pitas, Tongod, Paitan, Matunggong, Tungku dan Sook bagi memastikan semua bantuan kepada golongan sasar diserahkan sebelum 31 Julai.

“Sekiranya penerima tiada akaun bank ini masih belum menunaikan bantuan tersebut, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk pulau yang menerima BSH dan BPN 2020 secara tunai melahirkan penghargaan dan berterima kasih atas usaha murni kerajaan turun padang bertemu dan menyerahkan bantuan berkenaan kepada mereka.

Seorang pekebun kecil, Jayani Enod, 55, berkata ini adalah kali kedua dia menerima BSH secara tunai dan bantuan tersebut akan digunakan bagi menampung keperluan keluarganya termasuk barangan dapur.

Seorang lagi penerima, Halimah Usan, 42, berkata dia sangat bersyukur kerana bantuan BSH dan BPN diterimanya itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban bagi memenuhi keperluan empat anaknya, yang mana dua daripadanya sudah bersekolah.

Selepas kehilangan suami yang bekerja sebagai nelayan dua tahun lalu, Halimah berkata, kehidupannya semakin mencabar apabila dia terpaksa berdikari selain tidak hanya menjadi suri rumah tetapi juga ketua keluarga. 

Bagi Kamariah Maruda, 31, BSH dan BPN adalah antara bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan semua rakyat termasuk di pedalaman dapat sama-sama menerima bantuan itu. “Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan sehingga (ada urus setia) turun ke kampung kami menyerahkan bantuan ini. Bantuan ini sangat meringankan beban kami,” katanya. --BERNAMA




Sumber: Bernama

0 views0 comments