Ramai rayu SPRM batal beku akaun 1MDB - Mohd Shukri



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, mengesahkan ramai pihak yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) datang bertemunya untuk merayu dibatalkan pembekuan akaun.


Mohd Shukri menegaskan, beliau bagaimana tidak melayan tuntutan atau rayuan itu, sebaliknya mengarahkan setiap pegawai SPRM melakukan tindakan mengikut landasan undang-undang negara.


"Ya ramai..termasuk surat-surat daripada pihak tertentu, adakah saya melayan...tentu sekali tidak.


"Saya tidak tunduk sebaliknya meneruskan tindakan mengikut undang-undang. Tiada pembekuan akaun dibatalkan sepanjang pengetahuan saya," katanya kepada BH sebentar tadi.


Semalam, sidang Dewan Rakyat dikejutkan dengan pendedahan beberapa pucuk surat diminitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada SPRM supaya mereka membatalkan pembekuan akaun milik seorang ahli perniagaan pada 2018.


Pendedahan yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu membabitkan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Tan Sri Lim Soon Ping yang terbabit dengan dana 1MDB sebanyak RM4juta.


Surat reprensentasi bertarikh 10 Oktober 2018 kepada Mohd Shukri yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Pesuruhajaya SPRM meminta ia semua akaun peribadi dan syarikatnya dilepaskan secepat mungkin.


Sementara itu, ketika BH bertanya mengenai surat yang didedahkan Takiyuddin semalam, Mohd Shukri enggan mengulas lanjut.


"Saya sudah pencen dan tanggungjawab saya (berkaitan SPRM, 1MDB) sudah selesai dan mahu berada dalam keadaan aman sahaja....tetapi dikaitkan pula dengan perkara ini.


"Saya tidak mahu orang awam akan mengaitkan saya tunduk kepada arahan-arahan tertentu, sedangkan saya berpegang pada integriti sepenuhnya," katanya.


Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Mohd Shukri berkata, beliau hanya akur dengan arahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sahaja, dan bukan dari pihak yang tidak berkaitan termasuk Menteri atau Perdana Menteri.


Beliau yang berkhidmat lebih 33 tahun dalam SPRM, berkata ketika mengisi jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018 hingga Jun tahun lalu, beliau sudah menjalankan tugas dengan penuh integriti.


"Saya sentiasa menjaga integriti saya. Dalam mana-mana siasatan saya tidak akan patuh dengan arahan termasuk daripada Menteri atau Perdana Menteri.


"Begitu juga dalam kes ini, saya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada pegawai saya supaya melepaskan pembekuan akaun berkaitan," katanya.


Beliau menjelaskan lagi, sekiranya benar akaun itu dibatalkan pembekuannya, ia bukan daripada pihaknya.


"Andainya betul akaun berkenaan dibatalkan pembekuannya, ia bukan arahan saya kerana saya tidak tunduk dengan mana-mana pihak, sebaliknya memegang amanah seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang," katanya.


Mohd Shukri sebelum ini bersara awal selepas dikaitkan dengan tekanan yang dihadapinya dalam kes 1MDB sebelum kembali semula ke SPRM pada 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengarahkan kes itu disiasat secara terperinci.


Dia kemudian bersara selepas setahun mengisi jawatan itu.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments