Rasa sayang, dibalas luka



Ankara: Berang dengan tindakan isteri mengejutkannya daripada tidur untuk sarapan, seorang lelaki tergamak menyimbah air panas mendidih terhadap wanita itu hingga mangsa melecur teruk.


Kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di bandar Konya, Turki pada 9 Januari lalu.


Media tempatan melaporkan lelaki itu dikenali sebagai Ali Ay, 28, dituduh menyimbah air panas terhadap isterinya, Rukiye Ay, 23.


Wanita itu kini dirawat di sebuah hospital di Turki akibat melecur teruk di bahagian belakang badan termasuk pinggul.


Ali direman selepas pihak berkuasa menerima tekanan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati apabila lelaki itu pada awalnya dibebaskan daripada tahanan dengan jaminan.


Pasangan itu sudah berkahwin selama lima tahun, lapor media Turki.


Ketika ditemu bual media tempatan di hospital, Rukiye mengatakan ketika kejadian, dia membawa sarapan untuk suaminya di bilik tidur.


Namun, ketika dia mengejutkan suami, suaminya marah dan mula menjerit terhadapnya.


"Saya menyiapkan semuanya dan kemudian memberitahu suami supaya dia bersarapan di tempat tidur.


"Dia marah dan mahu mengetahui mengapa saya mengejutkannya dan memberitahu saya untuk tidak mengganggunya. Jadi, saya mula bersarapan dengan anak perempuan saya.


"Dalam keadaan masih marah, suami mengatakan mahu menceraikan saya dan mendapatkan hak penjagaan anak perempuan kami tidak kira apa yang saya lakukan," katanya.


Menceritakan penderitaan ditanggung, wanita itu berkata, suaminya kemudian menuang air mendidih di leher dan ke wajahnya, tetapi dia sempat mengelak dan ia terkena muka.


"Saya melarikan diri dan boleh merasai kemeja saya melekat pada kulit.


"Dia kemudian menyimbah lagi air mendidih ke arah saya dan sebahagiannya terkena kaki anak perempuan dan suami memukul saya di pinggul.


"Saya ingin melarikan diri, tetapi saya pengsan akibat kesakitan. Ketika saya tersedar, saya dapat mendengar anak perempuan saya menjerit dan kemudian saya merasakan dia menarik rambut dan mengheret saya ke bilik mandi," katanya.


Menurutnya, dia dapat mendengar anaknya menangis sekali gus memberi kekuatan untuknya bangkit melawan kezaliman lelaki itu.


Ketika suaminya membuat panggilan telefon kepada ayahnya, dia mengambil kesempatan untuk lari ke rumah jiran yang kemudian memberinya perlindungan dan memanggil polis hingga menyebabkan suaminya ditangkap.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments