Rezeki bundle, beli rumah untuk keluarga



USIANYA baru mencecah 20 tahun, namun anak muda ini dimurahkan rezeki apabila dapat membeli rumah untuk keluarga selepas kejayaannya dalam perniagaan bundle secara dalam talian dan menjadi pembeli peribadi atau personal shopper barangan bundle di Jepun.

Muhammad Asyraf Khairul Anuar yang berasal dari Klang, Selangor tidak memandang ke belakang dan kini merancang untuk menghasilkan jenama sendiri dalam perniagaan itu.


"Rumah yang saya beli tahun lalu itu sebenarnya hadiah untuk keluarga. Untuk rumah sendiri mungkin kemudian kerana saya masih bujang," kata Muhammad Asyraf.


Menceritakan pengalamannya, Muhammad Asyraf berkata, dia menceburi perniagaan bundle selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 lalu dengan hanya bermodalkan RM100.


"Dengan modal yang sedikit saya beli top up (tambah nilai) untuk langgan internet dan mengkaji beberapa akaun Instagram yang menjual barangan bundle serta cara mereka mempromosikan barang.


"Baki modal itu saya beli pakaian terpakai di kedai bundle dan jual beberapa helai di Instagram, tidak sangka dalam masa seminggu habis dijual," katanya.


Menurutnya, puncak kejayaan perniagaannya bermula selepas dia menjadi pembeli peribadi barangan bundle di Jepun dan tidak dinafikan ramai kaki bundle yang sanggup berhabis duit untuk tujuan itu.


"Pada awal 2019, saya berjaya menyimpan keuntungan RM200,000 dalam simpanan berkat sambutan hangat pelanggan yang meminati barangan bundle dari Jepun.


"Berbaloi penat lelah 'menyelam' (mencari barangan bundle) di negara itu, hasilnya cukup lumayan kerana nilai barangan bundle di Jepun tinggi mencecah ribuan ringgit dan ada yang sanggup membelinya," katanya.


Perkongsian Muhammad Asyraf mengenai kejayaannya itu yang dikongsikan di Twitter setakat ini mendapat lebih dari 6,000 ulang ciap serta 22,000 tanda suka.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments