Rumah tengah jalan



Beijing: Sebuah rumah kecil 'terselit' di tengah jalan raya yang sesak di wilayah Guandong, China.


Ia berpunca daripada kedegilan pemiliknya yang enggan berpindah dan menerima pampasan kerajaan.


Pemandangan itu dilihat pelik dengan kewujudan rumah di tengah-tengah jalan raya yang baru dibuka.


China terkenal dengan nail house iaitu pemilik rumah yang menolak pampasan daripada pemaju untuk pembangunan.


Rakaman yang dikeluarkan media China menunjukkan rumah itu berada di tengah-tengah lorong Jambatan Haizhuyong yang baru dibuka di bandar Guangzhou.


Rumah yang terletak di tengah-tengah jambatan dengan empat lorong dua hala itu menarik perhatian orang ramai.


Liang, pemilik rumah satu tingkat seluas 40 meter persegi itu memberitahu wartawan kerajaan gagal memberikan pampasan yang dimintanya.


Sebaliknya, dia ditawarkan sebuah flat yang terletak berhampiran rumah mayat menyebabkan dia tidak dapat menerima tawaran itu.


Wanita itu antara satu-satunya daripada 47 pemilik rumah dan tujuh syarikat yang masih tinggal di kawasan itu, manakala yang lain sudah berpindah selepas bersetuju menerima tawaran kerajaan.


"Anda fikir persekitaran ini buruk, tetapi saya rasa ia tenang, menyenangkan dan selesa," kata Liang, sambil menambah dia tidak peduli pendapat orang lain mengenai kedegilannya.


Menurut South China Morning Post, kerajaan membuat beberapa tawaran lain kepada Liang, tetapi dia menolak semua itu.


Salah satu tawaran itu termasuk dua flat lain serta pampasan wang sebanyak 1.3 juta yuan (RM6 juta) tetapi wanita itu meminta empat flat dan 2 juta yuan (RM12 juta).


Selepas gagal mencapai kesepakatan dengan pemilik rumah, kerajaan dilaporkan tidak mempunyai pilihan selain mengubah reka bentuk projek asalnya dan membina jambatan di sekitar rumah berkenaan.


Bagaimanapun, seorang jurucakap mengatakan rundingan dengan wanita itu akan diteruskan.


Sementara itu, kes pelik ini mencetuskan perdebatan dalam talian dengan kebanyakan pengguna media sosial menuduh wanita itu tamak.


"Pemilik lain sudah berpindah dengan menerima pampasan. Pemilik rumah ini mesti berfikir dia boleh memaksa kerajaan," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.