SABERKAS Cawangan Pantai Damai perlu lakukan perubahan dalam aspek kepimpinan


=

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pantai Damai perlu melakukan perubahan dalam aspek kepimpinan bagi memberi kepercayaan kepada pemimpin muda, kata Naib Presiden SABERKAS Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.


Menurutnya, langkah itu harus dilakukan kerana generasi muda sekarang mempunyai banyak idea yang bernas dan terkini dalam memastikan kelangsungan pertubuhan.


“Saya percaya dengan kelebihan ini pemimpin muda mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sekali gus meletakkan SABERKAS Cawangan Pantai Damai ke tahap lebih tinggi.


“Lagi pula, pertubuhan ini menyediakan landasan yang baik untuk generasi muda belajar mengenai hubungan sosial dan lebih penting peluang belajar mengenai kepimpinan,” katanya pada Mesyuarat Agung Tritahunan SABERKAS Cawangan Pantai Damai Sesi 2020-2023 di sini, kelmarin (Sabtu).


Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Bekalan Air memberitahu, SABERKAS merupakan medan terbaik untuk melahirkan pemimpin muda.


“Pengekalan orang lama dalam SABERKAS adalah untuk menjadi pembimbing atau cikgu kepada pemimpin muda.


“Gabungan pemimpin lama dan baharu amat penting untuk meneruskan kesinambungan ilmu serta panduan kepimpinan,” ujarnya.


Malah menurut beliau, pindaan juga telah dilakukan terhadap perlembagaan SABERKAS dengan menyaksikan kepimpinan diterajui 70 peratus pemimpin muda dan 30 peratus pemimpin lama.


“Nisbah ini digunakan bagi menentukan kepimpinan SABERKAS peringkat negeri, cawangan dan unit,” jelas Dr Abdul Rahman.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, setakat ini terdapat 76 cawangan SABERKAS di seluruh negeri.


Terdahulu pada majlis itu, Dr Abdul Rahman telah melepaskan jawatan sebagai pengerusi SABERKAS Cawangan Pantai Damai bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu dan muda untuk mentadbir pertubuhan belia tersebut di Pantai Damai.


Jawatan yang ditinggalkan Dr Abdul Rahman kini disandang Mohd Hasfa Saleh yang merupakan timbalan pengerusi sebelum ini dan exco SABERKAS Negeri.


Bagi pemilihan exco baharu pula, Merdehi Mas dan Abdul Adzim Adzmi Abdul Rahman masing-masing dipilih sebagai Naib Pengerusi SABERKAS Cawangan Pantai Damai sesi 2020-2023 selepas menang tanpa bertanding.


Ahli jawatankuasa yang turut menang tanpa bertanding terdiri daripada Sebeki Jen, Haslinda Azmi, Misniah Mail, Azlan Hassan, Rozy Panting dan Nur Azmina Arip.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak Kho Swee Aik.




Sumber: Utusan Borneo

0 views0 comments