SAIFUDDIN MOHON MAAF SECARA TERBUKA BERHUBUNG ISU LESEN FINAS



KECOH satu negara apabila Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan mana-mana pihak yang melakukan penggambaran dan rakaman media sosial perlu memohon lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).


Kenyataan semasa berhujah pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu mengundang kecaman pelbagai pihak.


Saifuddin kemudian tampil dengan jaminan undang-undang yang mana perkara itu tidak akan dikenakan terhadap pengguna media sosial sama ada di TikTok, YouTube atau platform lain.


Beliau bagaimanapun menekankan yang perlunya Akta Finas ditambah baik supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.


Berikutan itu, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Gabung Anak Seni tampil mencadangkan agar KKMM melakukan penambahbaikan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 selaras dengan perkembangan teknologi hari ini.


Presidennya, Ellie Suriati Omar berkata, terlalu ramai yang mengambil kesempatan membuatkan akta terbabit perlu dirombak semula demi melindungi hak dan kepentingan masa depan industri perfileman tanah air.


"Antara yang perlu dilakukan ialah mengenakan lesen untuk pemilik saluran YouTube kerana golongan itu menjana pendapatan lumayan daripada platform berkenaan.


"Saya bercakap atas kapasiti pemain industri dan berasaskan kandungan kreatif. Ini adalah platform anak seni sebelum sebarang penambahbaikan dilaksana kerajaan.


"Sememangnya kami mahukan perubahan akta baharu yang lebih kukuh dan boleh membawa kebaikan menyeluruh kepada pelakon, penerbit, royalti dan muzik," katanya pada sidang media diskusi Gabung Anak Seni berkenaan Akta Finas 1981: Relevan Yang Terbatal? di Petaling Jaya, Khamis lalu.


Hadir sama dalam program ini ialah Timbalan Presiden Gabung Anak Seni, Gibran Agi Abdul Ghaffar serta penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa, Datuk Ayu Puteh dan penerbit Town Mall, Zainuddin Mohd Ismail.


Menurutnya lagi, menteri perlu melaksanakan segera lesen pemilik saluran YouTube kerana mereka berjaya dengan kandungan kreatif disiarkan.


"Mereka ambil kandungan antaranya daripada sumber lain dan muatkan dalam saluran mereka. Malah cerita saya sendiri turut diambil oleh mereka.


"Daripada sini mereka dapat banyak tontonan dan dapat buat duit. Tak kiralah samada Youtuber popular atau tidak, asalkan ada saluran YouTube perlu mohon lesen.


"Dengan cara ini, mereka juga tak boleh sewenang-wenangnya menghasilkan kandungan yang berkonsep lucah atau melanggar batasan," katanya.


Pelakon dan pengarah terbabit tidak kisah sekiranya berdepan kecaman masyarakat atas tindakannya itu.


"Rakaman yang dibuat oleh Youtuber atas tujuan tertentu antaranya mencari wang dan dianggap sebagai kandungan kreatif. Jadi, perlulah ada lesen.


"Saya juga kesal apabila ada Youtuber kondem filem tempatan hingga menjejaskan jumlah kutipan tayangan. Ia buat kami rugi kerana mempengaruhi penonton.


"Tiada orang mahu menonton filem kami selepas ia digelar produk sampah. Industri kita bukan macam Hollywood, 10 peratus saja penggiat filem yang kaya dan selebihnya kategori B40," katanya.


Ellie turut berharap agar Seksyen 233 dan 221 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 juga dibaik pulih.


Sementara itu Gibran pula menyarankan agar Akta Finas 1981 disemak semula dan diberi penambahbaikan termasuk yang berkaitan dengan Seksyen 224 dan Seksyen 920.


"Ia merangkumi Harta Intelek (copyright), Platform Sosial Media, Perlesenan, Kontrak, Royalti, Dana, Pengedaran (Distribution), Kebajikan karyawan dan pemain industri kreatif serta Ekosistem Industri Hiburan," katanya.


Gabung Anak Seni akan menyerahkan memorandum berkaitan isu dibangkitkan kepada KKMM, Finas dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.


Sumber: Bernama; Harian Metro

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.