Sarawak bangunkan industri hiliran gas asli


KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan sekurang-kurangnya 45 peratus daripada pengeluaran gas dikekalkan di negeri ini bagi menampung keperluan untuk industri petrokimia tempatan.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata Sarawak mempunyai rizab gas asli yang terbesar iaitu meliputi 54 peratus daripada rizab negara.


Justeru katanya, kerajaan menetapkan dasar supaya sebahagian gas disimpan sebagai 'feedstock' untuk industri petrokimia, yang dibangunkan di Tanjung Kidurong, Bintulu.


"Saya amat yakin masa hadapan industri hidrokarbon Sarawak bergantung kepada keupayaan negeri kita dalam memperkasakan industri hiliran gas untuk menghasilkan produk petrokimia.


"Ketika ini, kita sedang membangunkan kawasan seluas lebih 400 hektar di Tanjung Kidurong untuk industri petrokimia bagi menjadikan Bintulu sebagai hub industri petrokimia Sarawak," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Sarawak di Miri, malam ini.


Sambutan sempena memperingati kemerdekaan Sarawak daripada penjajah Inggeris pada 22 Julai 1963 turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib.


Sambutan itu yang dihadiri hanya 250 tetamu sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial turut disiarkan secara langsung menerusi platform digital serta saluran televisyen Media Prima Berhad (MPB), TV3.


Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pembinaan loji petrokimia pertama milik Sarawak dengan kos RM3.74 bilion untuk menghasilkan methanol itu sudah bermula.


"Ini adalah bukti kesungguhan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasakan industri petrokimia dan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri pengeluar utama produk hiliran minyak dan gas," katanya.


Beliau turut memaklumkan, beberapa syarikat antarabangsa menyatakan komitmen untuk melabur di dalam industri petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu itu.


"Sebuah syarikat sudah mengemukakan perancangan kepada kerajaan Sarawak untuk melabur sebanyak RM24 billion di Tanjung Kidurong.


"Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan memastikan perancangan pelabur menjadi kenyataan dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.


Hub petrokimia Bintulu dijangka mampu menjana antara RM16 bilion hingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak selain mewujudkan 74,000 peluang pekerjaan.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments