Sarawak benar akad nikah di masjid, surau terpilih


SARAWAK memberi kebenaran majlis akad nikah diadakan di masjid atau surau terpilih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai semalam.


Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, majlis itu hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam bahagian atau daerah sebelum ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19.


"Bagaimanapun, beberapa garis panduan perlu dipatuhi termasuk hanya dijalankan di masjid atau surau yang diluluskan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).


"Ia termasuk maksimum kehadiran ialah 20 orang termasuk pasangan pengantin, jurunikah dan saksi di mana akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, garis panduan lain termasuk tiada upacara lain seperti membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin selain had masa tidak melebihi 20 minit.


"Majlis hendaklah dibatalkan sekiranya ada di kalangan individu yang mengalami simptom dan disahkan positif Covid-19," katanya.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments