Sarawak sedia bas sekolah percuma


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma di kawasan bandar.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata sebagai permulaan perkhidmatan bas sekolah percuma disediakan di Kuching dan Padawan.


Beliau berkata, ia antara janji kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meringankan beban rakyat, khususnya bagi memudahkan anak-anak ke sekolah.


"Hari ini, perkhidmatan bas sekolah percuma menjadi kenyataan dan inilah antara inisiatif kerajaan negeri untuk mensejahterakan rakyat dan mempertahankan keadilan sosial di negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan perkhidmatan bas sekolah percuma di sini, hari ini.


Sebagai permulaan, 46 bas menyertai program perkhidmatan bas sekolah percuma yang dikendalikan Yayasan Sarawak.


Ia menyediakan perkhidmatan kepada murid di 32 sekolah di sekitar Kuching dan Padawan.


Abang Johari berkata, perkhidmatan itu akan diperluaskan ke bandar besar lain antaranya Sibu dan Miri.


"Kuching sebenarnya adalah kawasan ujian dan selepas perkhidmatan bas sekolah percuma berjaya, kita akan memperluaskannya ke Miri dan Sibu.


"Untuk lokasi lain peruntukkan sama akan dikeluarkan," katanya.


Sementara itu, beliau berkata Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) berusaha mendapatkan lesen bagi menyediakan perkhidmatan komunikasi di kawasan yang tidak menerima kemudahan itu daripada syarikat penyedia kemudahan telekomunikasi.


"Ketika ini, SMA sudah mendirikan banyak menara di kawasan pedalaman, tetapi tiada syarikat telko yang mahu menyediakan perkhidmatan kerana ia tidak menguntungkan.


"Bagi memastikan semua rakyat mendapatkan kemudahan telekomunikasi khususnya internet, kerajaan negeri menerusi SMA akan menyediakan perkhidmatan itu," katanya.


Justeru katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung lesen kepada SMA untuk mengendalikan perkhidmatan itu.


"Saya percaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mempertimbangkan permohonan itu," katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.