'Saya sendiri pastikan Talian Kasih dibuka segera'



KUALA LUMPUR: Isu penutupan sementara Talian Kasih pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan Dewan Rakyat riuh dengan celahan Ahli Parlimen ketika sesi penggulungan perbahasan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini.


Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata penutupan sementara itu dibuat kerana awalnya wujud penyelarasan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menggunakan satu nombor bagi segala urusan ketika PKP.


"Kita tidak main politik, kita nak menjawab perkara sebenar. Kita tidak menutup Talian Kasih sehingga dua minggu, saya sendiri berada di kementerian untuk memastikan talian itu dibuka segera," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja,


Terdahulu, P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mencelah dan meminta penjelasan mengapa Talian Kasih 15999 dihentikan operasinya selama dua minggu ketika PKP sedangkan ia sepatutnya dibuka bagi menampung kemungkinan peningkatan kes penderaan dan bantuan.


RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bangkit dan mendakwa Rina memberi fakta tidak betul dan tidak sepatutnya bermain politik kerana ia adalah isu penting.


Kasthuriraani tidak berpuas hati dengan penjelasan Rina bahawa Talian Kasih tidak ditutup selama dua minggu dengan memberitahu rakaman suara talian itu menyatakan tempoh sedemikian.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, kemudian meminta Ahli Parlimen Batu Kawan itu berhenti mencelah.


"Tolong dengar saya cakap sekejap, menteri sudah jawab terdapat percubaan untuk menyelaraskan ke satu nombor dan soalan itu sudah dijawab, " katanya.


Menyambung penggulungan, Rina berkata, sepanjang tempoh PKP, Talian Kasih menerima 62,299 panggilan dengan 96.5 peratus atau 59,359 berkisar berhubung bantuan bakul makanan.


Beliau berkata, jumlah itu melonjak sepanjang PKP, contohnya pada April apabila 20,305 panggilan direkodkan berbanding hanya 4,000 sebelum itu.


Sementara itu, Rina berkata, bagi bantuan khas Bakul Makanan, seramai 846,374 ketua isi rumah menerima sumbangan itu yang memberi manfaat kepada tiga juta ahli isi rumah.


Katanya, Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM22.2 juta bagi menampung Bakul Makanan B40 di kawasan Parlimen.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments

Recent Posts

See All