"Saya sudah banci 'online' anda bila lagi? - Dr Noor Hisham



PUTRAJAYA: Orang ramai digalakkan mengambil bahagian dalam banci MyCensus yang dibuka secara dalam talian sehingga 30 September depan, selaras amalan norma baharu akibat penularan COVID-19.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain mengelak risiko penularan COVID-19, penyertaan dalam MyCensus penting untuk membantu kerajaan mengumpul data bagi tujuan perancangan pembangunan negara termasuk dalam soal kesihatan.


Beliau berkata, banci penduduk dan perumahan dilaksanakan setiap 10 tahun dan disebabkan penularan wabak COVID-19, banci kali ini diadakan dengan pendekatan berbeza dan dilaksanakan dalam dua fasa.


Fasa pertama katanya, antara 7 Julai hingga 30 September ini dibuat secara dalam talian melalui mycensus.gov.my dan diikuti fasa kedua secara bersemuka bermula 7 hingga 24 Oktober nanti.


"Pagi ini saya berbesar hati menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, bagi membincangkan kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM).


"Kunjungan ini juga bersempena Kempen MyCensus 2020 Fasa 1 bawah program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) yang sedang berlangsung.


"Pelaksanaan banci secara dalam talian selaras amalan normal baharu, sekali gus membantu kerajaan mencegah penyebaran COVID-19 serta melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya dalam laman sosial Facebook, hari ini.


Dr Noor Hisham yang sudah menyempurnakan bancian itu berkata, Program Banci Penduduk dan Perumahan yang dianggar membabitkan 32.7 juta penduduk dengan sembilan juta kediaman tahun ini, amat penting dalam membantu usaha kerajaan agar dapat merancang, menggubal dan melaksanakan dasar kerajaan.


Beliau berkata, data diperoleh melalui Banci 2020 akan digunakan bagi tujuan pembangunan negara seperti pembinaan hospital, klinik kesihatan, sekolah, jalan raya dan lain-lain.


"Saya sudah banci online (dalam talian), anda bila lagi?" katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments