Sedia program khas untuk atlet - UMUM



PIHAK yang bertanggungjawab perlu merangka satu program khas untuk atlet di negeri ini dalam usaha mengembalikan stamina dan tahap kecergasan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sebelum ini.


Pengerusi Ulamak Umarak Malaysia (UMUM) Datuk Jailani Ngah berkata, beliau bimbang prestasi atlet negeri terutama kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) merudum susulan PKP yang berkuat kuasa sebelum ini.


"Mereka tidak menjalani latihan rutin seperti biasa sepanjang PKP secara tidak langsung tahap kecergasan dan kemahiran mereka dalam acara sukan masing-masing pasti terjejas.


"Pihak berwajib perlu memandang serius terhadap permasalahan ini dan program khas yang menepati prosedur operasi standard ( SOP) perlu disediakan selepas Ramadan untuk semua atlet bagi mengekalkan prestasi sedia ada.


"Atlet yang selalunya aktif tiba-tiba tidak menjalani aktiviti dan latihan sukan susulan PKP semestinya akan memberi kesan kepada mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan UMUM kepada 16 pelajar miskin Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), di sini, hari ini.


Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Salleh dan Pengetua SSMT Huszaidi Hussin.


Jailani berkata, beliau juga berharap atlet yang terjejas kerana PKP juga perlu diberi perhatian dan bantuan.


"Atlet ialah aset negara dan ramai di antara mereka terdiri daripada kalangan orang yang kurang berkemampuan dan perlu dibantu dan diberi perhatian khusus.

"Mereka pernah berjasa dan mengharumkan nama negeri dan negara di pelbagai kejohanan sebelum ini, justeru tidak harus dipinggirkan sekarang.


"Kecaknaan semua pihak terhadap keperluan dan kesempitan mereka sekarang sedikit sebanyak akan memberi motivasi dan semangat kepada mereka selaku atlet untuk mengharumkan nama negeri dan negara dalam acara sukan masing-masing," katanya.

Menurutnya, beliau berharap lebih ramai pihak bertanggungjawab termasuk pelbagai NGO yang tampil membantu atlet yang terjejas sepanjang PKP berkuat kuasa.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.