Sejuta vaksin mula diagih, disuntik bulan depan




Kota Tinggi: Vaksin Covid-19 fasa pertama akan mula diagih dan disuntik kepada kira-kira satu juta rakyat negara ini bermula bulan depan.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin Covid-19 bagi fasa pertama berkenaan akan diberikan kepada barisan hadapan negara dahulu.


Katanya, ia diikuti golongan rentan (mudah mendapat penyakit) dan pesakit kronik termasuk buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.


"Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula bulan depan dengan sejuta vaksin dari Pfizer-BioTecNTech akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.


"Ia kemudian diikuti fasa seterusnya sebanyak 6.2 juta vaksin pada April dan Mei. Kerajaan akan beri vaksin secara percuma kepada semua rakyat untuk sasaran 80 peratus penduduk atau bersamaan 26 juta individu," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Bahagian Tenggara 2020 di Bandar Tenggara, di sini, hari ini.


Khamis lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini.


Perdana Menteri dilaporkan berkata, vaksin itu juga akan diberi secara percuma kepada rakyat melalui tiga fasa imunisasi dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM).


Beliau berkata, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang akan bermula bulan depan juga dijangka akan membantu negara untuk pulih seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments